PUL-E-ALAM - Khurma terpaksa meminjam kasut jiran untuk berjalan ke bandar Pul-e-Alam bagi mengambil wang tunai yang diberikan kepada penduduk Afghanistan yang terjejas akibat musim sejuk di negara itu.
Balu berusia 45 tahun itu menunggu dengan sabar untuk bergilir menerima wang tunai AS$45 (RM412) yang diberikan kepada 3,200 penduduk Afghanistan hasil Program Makanan Sedunia (WFP) yang dikelolakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Kami terdesak. Apabila kami tidak dapat memakan roti, kami akan tidur dengan perut kosong,” kata ibu kepada enam anak itu.
Khurma adalah salah seorang daripada jutaan penduduk Afghanistan yang berdepan kebuluran, ditambah dengan suhu sejuk mencengkam, bencana alam dan pelarian dalam negara masih berada dalam kancah peperangan itu.
"Keadaan sekarang sudah menjadi malapetaka di Afghanistan. Tetapi apabila musim sejuk bermula, kami mempunyai dua kecemasan besar,” kata Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Caroline Gluck.
Paling menyedihkan, sehingga sekarang terdapat ribuan orang ramai masih tidur di dalam khemah di wilayah Herat selepas siri gempa bumi pada Oktober 2023 yang menyebabkan 31,000 buah rumah hancur sepenuhnya.
Gluck menambah, keadaan bertambah teruk apabila kira-kira setengah juta penduduk Afghanistan yang lari dari Pakistan telah kembali semula sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Rabbani, 32, adalah salah seorang daripada mereka.
Sebagai pelarian, dia berhak mendapat bantuan WFP berupa 50 kilogram (kg) tepung, 5kg kacang merah dan 5 liter minyak masak dan 450 gram garam.
"Tetapi di sini tiada kerja,” jelas Rabbani.
Apabila suhu sejuk melanda, tujuh anggota keluarganya tinggal di khemah terbiar yang mereka duduki sejak merentasi dari Pakistan.
Makanan kecemasan
Skakur Gul, 67, baru saja menerima bayaran pertama daripada enam bayaran bulanan yang diberikan kepada 3,200 rakyat Afghanistan daripada WFP.
Dengan wang tunai, dia dapat membeli keperluan rumah dan pembelanjaan hanya cukup untuk 15 hari.
Namun, tahun ini bantuan tidak mencukupi akibat kekurangan dana disebabkan peningkatan bencana kecemasan kemanusiaan di seluruh dunia dan kekurangan penderma.
"Orang ramai masih datang dan tunggu, terutamanya wanita,” ujar Pengarah WFP di Pusat Pul-e-Alam.
Begitulah kes seperti Bibi Raihana, 40, yang mempunyai lapan anak, manakala suaminya berada di penjara dan mengalami masalah kesihatan.
Kelihatan matanya basah dengan air mata di sebalik burga dengan harapan dapat menerima bantuan walaupun dia bukan orang Afhanistan.
"Nama saya tiada dalam senarai. Mereka tidak memberi saya apa-apa,” katanya.
Jurucakap WFP, Philippe Kropf berkata, 15.8 juta penduduk Aghanistan memerlukan bantuan dengan 2.8 juta daripadanya berada di tahap kecemasan akibat 'ketidaksamaan makanan' pada musim sejuk kali ini.
Kekurangan dana menyebabkan WFP mengetatkan kriteria pemberian bantuan iaitu hanya membabitkan enam juta orang layak menerima bantuan kecemasan dalam bentuk makanan, wang tunai dan baucar. - AFP