BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dipenjarakan, layak untuk dibebaskan dengan parol bulan depan kerana usia dan kesihatannya.
Memetik laporan Reuters, Thaksin dimasukkan ke hospital akibat tekanan darah tinggi dan sesak dada beberapa jam selepas kepulangannya ke Thailand pada Ogos lalu, untuk menjalani hukuman penjara lapan tahun kerana salah guna kuasa.
Thaksin sebelum ini hidup dalam buangan sejak 15 tahun lalu.
Hukumannya diringankan kepada setahun selepas pengampunan diraja.
Jabatan Penjara minggu lalu melanjutkan tempoh rawatannya di Hospital Polis, dengan alasan keperluan untuk memantau kesihatannya.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Sitthi Sutivong berkata, berdasarkan kriteria, Thaksin layak mendapat parol khas.
Namun, pihaknya masih belum menerima permintaan rasmi daripada Penjara Reman Bangkok untuk parolnya.
Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada tahun 2006 dan berada di tengah-tengah pergolakan selama 17 tahun di Thailand, mempengaruhi politik dari buangan.
Beliau yang juga bekas taikun telekomunikasi dan pemilik kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dituduh oleh tentera kerana rasuah, kronisme dan salah guna kuasa.
Thaksin dijatuhkan hukuman penjara tanpa kehadiran pada tahun 2008.
Thaksin menerima sambutan sekembalinya ke Thailand pada Ogos tahun lepas, dengan orang ramai bersorak menyambut ketibaannya melalui jet peribadi dan anggota polis memberi tabik hormat kepadanya sebelum mengiringinya ke mahkamah dan kemudian dipenjarakan. - Awani