ANDALUSIA Travel & Tours (Andalusia) menjalin kerjasama strategik dengan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan patuh syariah berjumlah sehingga RM150,000 untuk pelanggannya menunaikan umrah dan haji.
Pengarah Andalusia, lda Riswana ldris berkata, jumlah jemaah umrah dari Malaysia meningkat sebanyak 900 peratus sepanjang tempoh 25 tahun yang lalu, mencerminkan pertumbuhan ketara terhadap permintaan bagi menunaikan ibadah tersebut.
Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan HLISB mampu memberi faedah kepada kedua-dua pihak bagi memanfaatkan pangkalan data pelanggan Andalusia yang besar.
"Kerjasama dengan HLISB ini memastikan pelanggan kami mendapat akses kepada pembiayaan ibadah umrah yang patuh syariah, digital dan berpatutan dengan rangkaian dan perkhidmatan kewangan yang holistik.
"Kami percaya ini akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan dengan berkesan dalam era digital hari ini, sambil menunaikan kewajipan agama dengan asas kewangan patuh syariah," katanya selepas majlis menandatangani MoU antara HLISB dan Andalusia di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Menerusi MoU tersebut, Adalusia turut menyasarkan peningkatan jemaah umrah mencecah 80,000 orang setahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi menjelaskan, HLISB akan melengkapkan pakej umrah Andalusia dengan rangkaian produk perbankan Islam yang komprehensif, sejajar dengan komitmennya untuk menegakkan nilai Islam dalam sistem perbankan dan memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan Muslim yang pelbagai.
Katanya, menerusi tawaran yang disediakan, membolehkan mereka yang merancang umrah untuk membiayai perjalanan mereka mengikut prinsip syariah dengan menggunakan tawaran kewangan HLISB, khususnya Pembiayaan Peribadi-i sehingga RM150,000 dan Akaun Pay & Save-i.
"Pembiayaan Peribadi-i HLISB menawarkan pembiayaan patuh syariah kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan agama yang disertakan dengan rebat untung 'Bayar Tepat Masa' sebanyak 60 peratus dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya," katanya.
Tambah beliau, akaun Pay & Save-i juga menyediakan keuntungan sehingga 4.15 peratus setahun di atas baki akaun.
Selain itu ujarnya, akaun itu juga mempunyai ciri mata wang pelbagai, yang membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan Kad Debit HLB, mengeluarkan mata wang asing daripada ATM luar negara dan penukaran terus ringgit kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect.
"Kerjasama dengan Andalusia menandakan satu langkah penting ke arah menyampaikan nilai tambah kepada pelanggan.
"Ia dapat menangani keperluan pelanggan secara aktif, memperkasakan umat lslam untuk menunaikan kewajipan agama dengan lancar," katanya.