Wanita warga emas didakwa memandu kelajuan berbahaya sebabkan kemalangan

Iklan
Tan Leuk Ley, 76, didakwa di Mahkamah Majistret pada Khamis atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kemalangan, November tahun lepas. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Seorang wanita warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kemalangan, November tahun lepas.

Tan Leuk Ley, 76, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Leuk Ley didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya menyebabkan kemalangan motosikal ditunggang Mohammad Afiq Roszani, 23, di Jalan Bukit Gambir, di sini, pada jam 2.15 petang, 27 November 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan terhadap motosikal ditunggang Mohd Nor Ezrie Ahamad Nordin, 40, bersama pembonceng Nur Irfan Hakim Mohd Nor Ezrie, 15, di tempat, hari dan masa yang sama.

Tan Leuk Ley, 76, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan tiga kemalangan, November tahun lepas. Foto Bernama

Iklan

Untuk pertuduhan ketiga, juga di tempat, hari dan masa yang sama, Leuk Ley didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan motosikal ditunggang Muhammad Syamil Zulkarnain, 22, dan pembonceng Kristina Abdulllah, 22.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali, memohon jaminan RM30,000 dikenakan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Iklan

Peguam tertuduh, Dev Kumaraendran memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya merupakan seorang pesara kerajaan dan bergantung kepada wang pencen berjumlah RM1,800 sebulan.

''Anak guam saya juga mempunyai penyakit ketumbuhan di dalam telinga yang menyebabkan telinganya mengalami masalah pendengaran.

''Dia juga masih mendapatkan rawatan penyakit berkenaan di hospital dan sejak hari kejadian dia sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis,'' katanya.

Majistret Siti Nurul Suhaila menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia serta ahli keluarganya tidak dibenarkan menganggu mangsa-mangsa. - Bernama