Lelaki dicekup bawa lari peti sejuk naik motor

Iklan
Seorang lelaki ditahan kerana melarikan peti sejuk beku di Kampung Telok, Sungai Jagung pada Rabu. Foto pembaca

SUNGAI PETANI - Hasrat tiga lelaki melarikan peti sejuk beku dari sebuah dewan makan dekat Kampung Telok, Sungai Jagung di sini dengan menaiki dua buah motosikal gagal setelah disedari pemilik barangan terbabit.

Mangsa bagaimanapun menyedari kejadian setelah dihubungi seorang rakan bertanyakan sama ada telah mengupah seseorang untuk mengeluarkan peti ais terbabit, namun dinafikannya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dilaporkan berlaku di dewan terbuka dan berpagar di kampung itu pada jam lebih kurang 11.50 pagi Rabu.

Menurutnya, seorang kenalan mangsa telah bertanya sama ada menyuruh mana-mana pihak untuk mengeluarkan barang dari dewan makan tersebut yang sering disewa untuk majlis perkahwinan.

Tindakan melarikan peti sejuk beku menggunakan motosikal gagal apabila disedari pemilik barangan terbabit. Foto pembaca

Iklan

"Mangsa menidakkan perkara tersebut dan dalam masa sama dimaklumkan terdapat tiga lelaki bermotosikal telah mengeluarkan peti sejuk beku dari dewan ke atas motosikal.

"Setelah dimaklumkan perkara itu, mangsa bergegas ke lokasi namun semasa dalam perjalanan, telah terserempak seorang lelaki yang dilihat sedang membawa peti berkenaan tidak jauh dari lokasi kejadian manakala dua lagi melarikan diri," katanya.

Iklan

Jelasnya, susulan itu seorang penganggur berusia 43 tahun telah ditahan.

Tangkapan semula dan rampasan telah dibuat oleh anggota MPV bertugas.

Semakan mendapati, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Zaidy, polis sedang mengesan dua lagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan perbuatan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.