SUNGAI PETANI - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang daripadanya dipercayai tokan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mutiara, di sini pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintenden Zaidy Che Hassan berkata, dalam serbuan Op Tapis pada jam 5.30 petang itu, kesemua suspek berada dalam rumah berkenaan dan terkejut melihat kehadiran anggota polis.
"Ketika itu, seorang suspek yang juga tokan dadah berusia 32 tahun mendakwa baru sahaja berpindah ke rumah itu sejak dua bulan lalu.
"Suspek ditahan bersama dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun dipercayai penagih dadah," katanya.
Beliau berkata, suspek yang sebelum ini aktif mengedar dadah di sekitar daerah Kota Setar, dipercayai mula berpindah meneruskan kegiatan terbabit di daerah Kuala Muda.
"Kita juga percaya perubahan tempat itu adalah disebabkan mungkin di kawasan Alor Setar, namanya sudah dikehendaki polis, jadi dia telah berubah lokasi ke kawasan Sungai Petani (daerah Kuala Muda)," katanya.
Menurut Zaidy pemeriksaan di dalam rumah terbabit telah menemui satu peket heroin anggaran berat 46.14 gram dan tiga peket syabu dianggarkan berat 1.55 gram yang disyaki milik suspek.
Zaidy berkata, dalam serbuan lain di Taman Ria Jaya, Kampung Benggali dan Kawasan Perumahan Flat Paya Nahu, seramai 17 penagih lelaki ditahan.
Katanya, polis merampas sejumlah keseluruhan sebanyak 82.60 gram heroin bernilai RM2,478 dan syabu sebanyak 1.55 gram bernilai RM155.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) akta yang sama dan Seksyen 39C ADB 1952.
Zaidy berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi mengurangkan seterusnya membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah itu.