BATU PAHAT - Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat empat Hospital Sultanah Nora Ismail di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas keselamatan hospital pada jam 9.50 malam berhubung perkara berkenaan.
"Polis kemudiannya telah menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di belakang lobi bangunan Blok B hospital berkenaan yang dipercayai terjatuh dari aras empat bangunan tersebut.
"Siasatan juga mendapati lelaki berusia 42 tahun dan merupakan seorang pekerja ladang itu sedang menerima rawatan di wad 4B sejak dimasukkan pada 7 Januari lalu akibat kemalangan jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kecederaan yang dialami mangsa adalah konsisten akibat jatuh dari tempat yang tinggi.
Ujarnya, pihak polis juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung insiden berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga dan dibawa ke rumah keluarganya di Kangkar Baru, Yong Peng.