KUALA LUMPUR - Kebanyakan pengunjung di Sunway Putra Mall tidak mengetahui pusat beli-belah itu antara lokasi yang menyimpan kapsul masa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai terkejut sewaktu ditanya berhubung perkara itu kerana menyangka kapsul itu hanya terdapat di Putrajaya dan Menara Kuala Lumpur.
Malah, ada antaranya tidak mengetahui kewujudan kapsul masa yang dikatakan mengandungi amanah Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan disampaikan kepada generasi akan datang.
Kapsul masa itu ditanam pada 12 Jun 1987 oleh Dr Mahathir semasa perasmian bangunan pusat membeli-belah The Mall atau namanya kini Sunway Putra selepas berpindah milik kepada kumpulan syarikat Sunway Berhad berkuat kuasa 1 Mei 2013.
Kapsul tersebut dijangka dibuka pada 2087 iaitu mengambil tempoh 100 tahun selepas ditanam.
Sementara itu, rata-rata yang ditemui mempersoalkan alasan kapsul itu perlu ditanam dalam tempoh lama dan ada yang berpandangan ia perlu didedahkan kepada umum lebih awal dari tempoh ditetapkan.
Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Fatin Nabila Azman, 21, berpandangan sedemikian sekiranya ia dapat membantu pembangunan negara.
"Saya rasa rakyat perlu tahu amanat Dr Mahathir, sudah pasti apa yang disimpan itu perkara penting yang ingin disampaikan. Jika tidak, mana mungkin ia disimpan bertahun lamanya.
"Sebagai generasi muda, saya berharap kapsul itu membantu atau menjadi rujukan kepada pentadbiran sekarang untuk membawa negara ke arah lebih maju," katanya.
Seorang jurutera, Mohamad Azreen Jamidiah, 36, bersetuju jika kapsul masa itu didedahkan lebih awal dari tempoh sepatutnya kerana ia menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia.
"Kenapa perlu tunggu sehingga 2087 untuk dibuka sedangkan kita dah sampai tahun 2020. Saya rasa kapsul masa itu terkandung inspirasi dan sasaran pemimpin dahulu untuk generasi akan datang.
"Dengan amanat itu, kita dapat melihat hala tuju pembangunan yang digariskan telah dicapai atau sebaliknya, malah kita dapat menilai pemikiran pemimpin terdahulu dengan pemimpin sekarang selari atau perlu ditambah baik lagi untuk masa depan negara," katanya.
Suri rumah, Norhaslinda Ujang, 50, berkata, dia yang kerap berkunjung ke pusat beli-belah itu ketika menuntut di kolej swasta sekitar tahun 90-an juga tidak mengetahui kapsul masa disimpan di situ.
"Saya tak sangka tempat yang kerap saya kunjungi suatu masa dulu rupa-rupanya lokasi penting yang menyimpan amanah Dr Mahathir untuk generasi akan datang.
"Tidak dinafikan perkara tersebut pernah dilaporkan sebelum ini, namun mungkin saya terlepas pandang sehinggalah ia kembali diperkatakan kerana dikaitkan dengan Wawasan 2020," katanya.
Selain Sunway Putra Mall, kapsul masa turut ditanam di tiga lokasi berasingan yang akan dibuka secara berasingan termasuk Hentian Rehat&Rawat Rawang (1994-2018), Mercu Tanda Putrajaya (1995-2020) dan Menara Kuala Lumpur (1996-2018).