Warga KPKM mesti tekad pastikan bekalan makanan kekal terjamin

Iklan
Gambar hiasan.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini akan terus menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Pelbagai cabaran dilalui KPKM pada 2023, terutama tatkala seluruh dunia mengalami krisis kenaikan harga makanan global.

Iklan
Iklan

Warga KPKM telah menunjukkan semangat kerja yang tinggi dalam mengharungi tahun 2023 dengan isu 'bread and butter' masyarakat pengguna, namun rakyat menuntut tindakan pengukuhan segera dilaksanakan pada tahun 2024.

Syukur negara kita melalui KPKM telah bertindak pantas dengan melaksanakan program jualan Agromadani yang menawarkan pelbagai barangan keperluan agromakanan secara terus dari ladang seperti produk segar sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur.

Iklan

Harga yang ditawarkan adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan pasaran setempat.

Program yang bertujuan untuk memberikan kemudahan mendapatkan makanan asas kepada rakyat pada harga jualan yang berpatutan ini telah mendapat sambutan yang begitu hebat terutama bagi golongan B40 dan M40 serta seluruh warga penjawat awam apabila program ini turut diadakan di setiap kementerian dan jabatan kerajaan di seluruh negara.

Iklan

Walaupun masih terdapat rungutan tentang kekurangan beras putih tempatan di pasaran namun situasi ini dijangka semakin reda melalui hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Meskipun isu ini semakin reda namun purata pengeluaran beras negara masih belum mencukupi kerana kadar sara diri negara (SSR) kita baru mencapai 65 peratus dan masih belum mencukupi 35 peratus lagi.

Sebab itu usaha untuk meningkatkan nilai SSR ini perlu diteruskan dan ditingkatkan bagi tahun 2024.

Sekiranya ada kekurangan, perlu ditambah baik.

Kejayaan yang dicapai tahun 2023 perlu dipertingkatkan dan kelangsungan agenda membantu rakyat mesti digandakan dan diteruskan.

Pada awal tahun 2023 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu telah menggariskan Lima Hala Tuju kementerian yang diterajuinya iaitu akuakultur, penternakan lembu secara fidlot, jagung bijian, penglibatan anak muda dan pemerkasaan institut latihan pertanian.

Lima hala tuju ini akan diteruskan inisiatifnya pada tahun ini dengan melihat semula penetapan sasaran dan strategi jangka panjang, sederhana dan pendek.

Dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bersama warga KPKM di Wisma Tani, Putrajaya pada 17 Januari lalu, Mohamad menjelaskan mulai tahun 2024 hingga 2030 suntikan pengukuhan melalui pelaksanaan dan Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) akan diberi penekanan yang komprehensif.

Melalui konsep PINTAR, pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dan reengineering dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan akan diberikan penekanan yang komprehensif.

PINTAR merupakan game changer dalam usaha KPKM untuk mereformasi sektor agromakanan.

Ia bukan satu konsep yang baru tetapi ia amat kritikal untuk memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agromakanan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa khasnya dalam menghadapi situasi geopolitik dan ekonomi dunia serta cabaran perubahan iklim yang kian membelenggu manusia.

Jika tahun lalu berlaku kesan rantaian bekalan makanan global termasuk akibat perang Russia-Ukraine dan tahun ini pula ketegangan makin melebar di Timur Tengah sejak tiga bulan berlaku peperangan di Gaza, ditambah lagi dengan sekatan-sekatan di laut maka Mohamad membuka minda kita supaya bersedia memikirkan dan mencari langkah-langkah persediaan untuk menghadapi masalah sekuriti makanan ini untuk rakyat Malaysia dan rantau Asia.

Sebab itu konsep pertanian PINTAR ini disandarkan kepada lima teras strategik.

Pertama, pembangunan kapasiti industri dan infrastruktur.

Kedua, reformasi institusi dan tatakelola. Ketiga, penyelidikan pembangunan, pengkomersilan dan inovasi.

Keempat, teknologi mekanikasi dan automasi dan kelima, perluasan jaringan kerjasama berkonsepkan whole of government, whole of approach dan food diplomacy.

Kesemua lima teras strategik PINTAR adalah petunjuk yang kritikal kepada pembangunan, pengembangan dan pengukuhan sektor agromakanan negara yang merangkumi sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani di sepanjang rantaian pengeluaran dan nilai.

Konsep PINTAR ini kata Mohamad, sejajar dengan Rukun Madani iaitu kemampanan, daya cipta dan keyakinan.

Kepelbagaian dalam mendepani isu keterjaminan makanan dengan kaedah yang lebih bervisi berdasarkan tekad untuk menggalas amanah yang diberi.

Menyedari peri pentingnya kementerian ini memenangi isu keterjaminan makanan yang dihadapi pada tahun 2023, maka KPKM memberi fokus untuk mengukuhkan tiga lagi industri sedia ada dan satu industri rintis iaitu industri padi dan beras, ayam serta telur, bawang dan tanaman nanas.

Fokus untuk industri padi dan beras akan diteruskan dengan melipat gandakan usaha kempen dan sebagainya ke arah mencapai matlamat kecukupan SSR 100 peratus.

Untuk tujuan itu, KPKM menambah baik mekanisme merangka hala tuju industri padi dan beras negara yang dinamakan Gelombang Padi.

Gelombang Padi merupakan satu perubahan yang akan mentransformasi industri padi dan beras negara.

Mohamad berharap inisiatif ini akan mengangkat industri padi dan beras negara ke suatu tahap yang lebih cekap dan berdaya tahan, seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluar di sepanjang rantaian agromakanan.

Tema amanat tahun 2024 iaitu Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat yang diangkat ini merupakan kesinambungan daripada tema yang digariskan Mohamad pada tahun lalu iaitu Kemampanan Sektor Agromakanan Teras Mengemudi Cabaran Krisis Global.

Tema kali ini juga mengangkat konsep inovasi dalam sektor agromakanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021 - 2030 (DAN 2.0).

Kejayaan yang dicapai tahun lepas perlu dipertingkatkan dan kelangsungan agenda membantu rakyat mesti diteruskan.

Begitulah harapan rakyat kepada warga KPKM supaya sentiasa cakna dalam menggalas tanggungjawab mengenai keterjaminan makanan serta memastikan ia sentiasa kekal terjamin.

Pelbagai Inisiatif yang mengutamakan kepentingan rakyat khasnya golongan sasar dalam sektor pertanian dan agromakanan serta pemain industri juga diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan dan kemakmuran negara kita.

*Amirul Azim, Kuala Lumpur

*Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Sinar Harian.