KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 74.5 Jalan Besar Kuala Terla berhampiran Lavender Garden, Cameron Highlands pada November tahun lalu disebabkan kecederaan pada kepala akibat trauma tumpul.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, laporan terbabit diperolehi hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Perubatan Forensik di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mengetahui punca kematian lelaki berusia 29 tahun itu.
Menurutnya, bagaimanapun, berdasarkan bedah siasat itu, Pakar Perubatan Forensik tidak dapat mengesahkan kecederaan pada kepala adalah disebabkan oleh kemalangan ataupun perbuatan jenayah.
"Kita memohon agar bedah siasat dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik di HTAA selepas mengesan kecederaan dialami simati (mangsa).
"Berdasarkan fakta yang diperolehi pada ketika itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu siasatan selari turut dijalankan di bawah 'sudden death report' (SDR) bagi merungkai sama ada wujud elemen jenayah atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis
Sebelum itu, Yahaya berkata, siasatan awal pihak Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Tringkap menghala ke Kuala Terla.
Menurutnya, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan di lokasi kejadian iaitu di satu kawasan selekoh menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelah kanan.
"Pemeriksaan ke atas motosikal si mati (mangsa) mendapati terdapat kesan kerosakan iaitu 'coverset' calar, cermin sisi sebelah kanan dan lampu belakang pecah.
"Terdapat juga kesan calar pada topi keledar mangsa yang tercampak di atas jalan," katanya.
Yahaya turut memberitahu seramai 14 individu dirakam percakapan.
Katanya, pihaknya masih menunggu butiran diri seorang lagi individu lain yang dikatakan mempunyai maklumat dan sehingga kini butiran individu tersebut masih belum diperolehi.
"Apa jua bentuk tindakan siasatan atau klasifikasi yang dibuat, pihak polis tidak berhenti menjalankan tindakan-tindakan risikan dan menganalisa data atau sebarang maklumat di mana tindakan-tindakan yang dilaksanakan itu tidak sesuai didedahkan kepada masyarakat.
"Kes ini masih dalam siasatan berdasarkan prosedur siasatan dan mengambil kira prinsip keadilan, Justeru itu, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai bagi membantu siasatan," katanya.
Yahaya turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.