SHAH ALAM - Penganalisis politik melihat peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan bukan disebabkan faktor pencapaian Kementerian Pendidikan merosot.
Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata, Dr Maszlee telah banyak memperkenalkan perubahan-perubahan baru dan drastik terhadap pembangunan pendidikan khususnya di peringkat sekolah.
Menurutnya, bukan setakat itu sahaja, pelajar kelulusan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) misalnya turut diangkat untuk diterima masuk ke universiti.
"Begitu juga halnya dengan perubahan-perubahan yang melibatkan kurikulum dan pengekodan data di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata, ada beberapa isu seperti isu tulisan jawi, isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan sebagainya yang telah banyak memberi tamparan kepada Maszlee.
"Usaha Dr Maszlee ini bagi mempertahankan keutuhan dan integriti dalam sistem pendidikan kebangsaan yang berpaksikan kepada keadilan pendidikan untuk semua kaum," katanya turut merasakan keputusan Maszlee meletak jawatan dilakukan secara tergesa-gesa.
Syed Agil berkata, ketegasan Maszlee dalam membuat keputusan mengenai hal-hal pendidikan itu sudah pasti mengundang rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan sebilangan aktivitis dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Ini termasuklah daripada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan dalam kalangan ahli-ahli politik dan juga segelintir masyarakat," katanya.
Sehubungan itu, Syed Agil menganggap isu peletakan jawatan Maszlee harus diperhalusi dari segi rasional, objektif dan prinsip mengapa pemimpin itu mengambil keputusan untuk bertindak sedemikian.
"Semua pihak tidak wajar secara terburu-buru menuduh Dr Maszlee gagal menangani isu-isu kritikal dalam pendidikan atau pengaruh pihak ketiga yang mendesak pemimpin itu berbuat demikian," katanya.
Dalam pada itu, Syed Agil juga tidak menolak bahawa ia merupakan suatu isyarat kepada barisan Kabinet lain dari segi pengukuhan kerjasama dan komitmen di antara mereka untuk menjayakan misi dan aspirasi wawasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain daripada meningkatkan pencapaian prestasi kementerian masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Terima kasih semua. Jalan terus': Maszlee
Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa DAP menjadi punca utama keputusan Maszlee meletakkan jawatan, beliau berkata, dakwaan seperti itu tidak dapat dipastikan kebenarannya.
"Ini sebab tiada bukti-bukti kukuh yang mensabitkan peranan yang dimainkan oleh parti tersebut berhubung hal peletakan jawatan ini.
"Dalam erti kata lain, peletakan jawatan ini juga memberi implikasi bahawa lebih banyak usaha bersungguh-sungguh dan ketekunan yang perlu ditunjukkan anggota Kabinet untuk memenuhi dan memperbaiki prestasi kerja masing-masing," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya pulangkan jawatan ini kepada Perdana Menteri..'
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, peletakan jawatan Maszlee sebenarnya adalah untuk memberikan isyarat bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa mutlak dalam meminta, menasihat dan membuat ketentuan terhadap hayat politik seseorang itu.
Katanya, ini menjadi isyarat kepada menteri-menteri lain bahawa mereka perlu meletakkan jawatan sekiranya tidak 'perform' atau gagal menguruskan tugas mereka atau pun kurang disenangi oleh Perdana Menteri.
"Mungkin ada menteri lain kurang berprestasi tinggi, terlibat dalam politik persepsi dan salah laku namun kuasa Perdana Menteri yang memuktamad keputusan dan ini bergantung kepada kepentingan politik tertentu," katanya.
Beliau juga menyifatkan sukar untuk menyalahkan mana-mana pihak susulan peletakan jawatan Maszlee termasuk DAP yang didakwa sesetengah pihak menjadi punca utama peletakan jawatan itu.
"Ini kerana selagi Perdana Menteri bertegas dan mahu mempertahankan ahli Kabinetnya maka tidak ada apa yang mampu dilakukan termasuk parti DAP kerana Perdana Menteri bukanlah dari DAP.
"Ini sama seperti (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipertahankan oleh Perdana Menteri walaupun ada gesaan dan desakan untuk mengambil tindakan terhadapnya.
"Pendek kata, kuasa akhir paling muktamad ialah terletak kepada keputusan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan politik nasional," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed pula berpandangan tindakan dilakukan Maslee menunjukkan kematangan politik.
"Ia satu pendekatan yang jarang dibuat dalam situasi politik negara apabila seseorang menteri sanggup meletak jawatan tanpa menerima apa apa kecaman untuk berbuat demikian.
"Bagi saya ia menunjukkan sudah ada satu kematangan politik di kalangan ahli politik baru seperti beliau. Apa pun alasan, keberanian dan komitmen beliau untuk meletakkan jawatan satu tindakan terpuji.
"Kita boleh jadikan ia sebagai satu contoh kematangan politik yang sebenarnya sudah lama diamalkan di Barat," katanya
Dalam konteks lain pula, katanya, tindakan Maszlee merupakan satu tindakan yang baik di dalam keadaan di mana PH perlu mengurangkan apa juga isu - isu yang membelenggu kerajaan pada hari ini.