AMK buat laporan polis terhadap kenyataan Tun M

Iklan
Sathasivam (depan tiga, kiri) menunjukkan laporan polis berhubung kenyataan Tun M ketika ditemui pemberita di hadapan Balai Polis Travers hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kepimpinan AMK Pusat, M. Sathasivam di Balai Polis Travers di sini.

Iklan
Iklan

Sathasivam tiba di balai polis itu pada 5 petang dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata selaku bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini.

Iklan

Dr Mahathir juga, katanya, tidak perlu mempersoal kesetiaan masyarakat Cina dan India kepada negara kerana sebelum ini beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun adalah atas sokongan rakyat termasuk kedua-dua kaum.

"Kini bila kaum Cina dan India tidak lagi memberikan sokongan kepada dia, kami dikatakan tidak setia kepada negara.

Iklan

"Tun (Dr Mahathir) perlu berhenti keluarkan kenyataan seperti itu, ia menggambarkan keadaan politik Malaysia tidak menentu dan akan menakutkan pelabur asing untuk melabur di sini," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Pusat S.Thiban.

Sathasivam juga berkata pihaknya akan mengarahkan cabang AMK seluruh negara membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

"Saya yakin pihak polis akan menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap laporan polis ini," katanya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir dalam temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran televisyen satelit India Thanthi TV mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka. - Bernama