JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin serta atlet lompat kijang, Andre Anura Anuar akan menjadikan dua kejohanan jemputan di Australia bulan depan sebagai medan untuk memburu mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Dua pertandingan itu adalah Kejohanan Jemputan Adelaide pada 10 Februari dan Kejohanan Jemputan Melbourne pada 15 Februari.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard optimis kedua-dua atlet itu berpeluang untuk mengutip mata dalam misi meraih slot ke temasya terbesar dunia bermula pada Julai.
"Ini berita baik untuk mereka cuba layak ke Olimpik. Kami sangat teruja kerana mereka mendapat jemputan untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu dan anda perlu berada pada tahap tertentu untuk terpilih.
"Kami berharap mereka dapat melakukan yang terbaik di Australia. Mereka juga berada pada prestasi terbaik ketika ini di bawah seliaan jurulatih masing-masing,” katanya.
Ballard menjelaskan, berdasarkan ranking Road to Paris, Irfan dan Andre masih berpeluang layak ke Olimpik sebelum berakhir kejohanan untuk mengutip mata pada Jun depan.
"Jika dapat perbaiki kedudukan ranking, ia mampu memberikan motivasi kepada mereka apabila pulang ke tanah air untuk menyertai Terbuka Malaysia pula. Mereka perlu pamer prestasi konsisten untuk layak ke Olimpik,” katanya.
Irfan ketika ini menghuni ranking ke-53 dunia dan perlu mendaki ke kedudukan 32 terbaik menjelang akhir Jun, manakala Andre pula berada di tangga ke-29 Road to Paris.
"Kejohanan di Australia amat penting kerana standard kejohanan itu tidak sukar berbanding di Eropah atau Amerika, jadi mereka berpeluang untuk mengutip mata.
"Kami akan cuba memberi setiap peluang terbaik kepada mereka. Sangat sukar untuk layak ke Olimpik, hanya beberapa (atlet) sahaja yang berpeluang melakukannya, jadi kami mahu memberikan segala peluang sebaik mungkin,” ujar Ballard.