Hilang pendapatan RM30 sehari

Iklan
Penghantar makanan mengeluh susulan kadar upah penghantaran diturunkan lagi daripada RM4.30 kepada RM3.50. Foto hiasan

SHAH ALAM - Penghantar makanan kecewa dengan tindakan syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) menurunkan kadar bayaran upah penunggang yang mengakibatkan mereka kehilangan pendapatan sekitar RM30 sehari bagi setiap 10 pesanan.

Seorang penghantar makanan yang mahu dikenali sebagai Fazli, 28, berkata, kadar baharu RM4.30 ke RM3.50 sangat tidak berbaloi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penurunan itu memberi kesan yang teruk kepada pendapatan harian, kadang-kadang tempoh menunggu di vendor sahaja memakan masa 30 minit hingga satu jam untuk satu pesanan.

"Bayangkanlah sebelum ini jika mendapat 10 pesanan saya boleh dapat RM70, tapi sekarang 10 pesanan hanya dapat dalam RM40 hingga RM55 sahaja.

Iklan

"Untuk satu pesanan RM4 jika mahu isi minyak penuh tangki motosikal pun tidak mencukupi tambah lagi ada kalanya pelanggan minta penghantaran yang cepat belum masuk lagi yang ada masalah silap alamat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kata Fazli, ketika memulakan kerja dahulu dia mendapat upah dengan harga RM10, namun selepas itu turun menjadi RM8 dan RM7 kemudian menurun lagi sehingga RM6.

Iklan

Selepas itu, katanya, syarikat ada memberi bonus mingguan mengikut sasaran yang GrabFood tetapkan.

"Dalam waktu puncak 11 pagi hingga 2 petang dan 5 petang hingga 9 malam, sasaran pesanan yang diberi contohnya seminggu waktu puncak (60 pesanan RM15), (75 pesanan RM35) dan (90 pesanan RM50).

"Kemudian mereka turunkan lagi menjadi RM5 hingga RM5.50, sekarang lagi rendah, kalau pesanan berganda dekat-dekat potong lagi caj upah menjadi RM3.50, jumlah yang dapat hanya RM7. Itu belum lagi pesanan RM4 hantar rumah flat tingkat empat," katanya yang sudah lima tahun melakukan pekerjaan itu.

Seorang lagi penghantar makanan, Hasan, 30, berkata dengan keadaan ekonomi negara sekarang sepatutnya upah penghantar makanan perlu dinaikkan bukan diturunkan.

"Tak padan dengan nyawa kita atas jalan, duit minyak, penat naik turun tangga serta hantar terus sampai depan rumah.

"Harga di vendor-vendor pun mereka dah siap-siap naikkan. Saya rasa syarikat tak rugi apa pun malah untung berganda tapi kenapa mesti kami sebagai penggerak ini ditekan?" ujarnya yang tidak dapat menabung kerana kadar upah yang rendah.

Hasan turut mengakui pendapatan harian yang diperolehnya sangat berbeza dengan sebelum ini apabila dia kehilangan RM2 hingga RM4 untuk satu pesanan, bergantung kepada jarak.

Sementara itu, Mohd Hafis, 37, pula berkata, kini untuk mendapatkan upah berjumlah RM50 sangat sukar.

"Bayaran semakin kecil dan membebankan, memang tak dinafikan pekerjaan p-hailing memang agak susah, ditambah pula dengan pesanan yang tak menentu, kadang okey kadang tidak.

"Saya kerja ini sudah masuk tahun kedua, biasa saya ambil syif, kalau buka pesanan selalu dapat yang jauh namun bila dapat bayaran macam ini sangat terkesan untuk saya," jelasnya.

Selain itu, Sobri, 30, pula berkata, kesan penurunan tersebut menjadikan jumlah pendapatan dia berkurangan 40 hingga 50 peratus daripada sebelum ini.

Ujarnya, kadar upah sebelum ini RM5 untuk kawasan Lembah Klang hanya cukup-cukup untuk penyelenggaraan motor dan duit perbelanjaan harian.

"Saya yang baru buat setahun ini pun terasa kurang dia, yang mana sudah lama bekerja tidak tahulah macam mana sebab rata-rata sehari buat perkhidmatan 12 jam.

"Saya sungguh kecewa, dalam keadaan barangan yang semakin mahal ini, syarikat pula turunkan harga upah," jelasnya.