PALESTIN terlepas peluang merakam kemenangan pertama di pentas Piala Asia Qatar 2023 selepas seri 1-1 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang terpaksa bermain dengan 10 pemain pada pertembungan di Stadium Al Janoub, awal pagi Jumaat.
Pada aksi kedua Kumpulan C itu, penjaga gol UAE Khalid Eisa menjadi igauan ngeri Palestin susulan kecemerlangannya menyelamatkan banyak percubaan berbahaya sepanjang 90 minit permainan termasuk sepakan penalti pemain tengah Tamer Seyam pada separuh masa pertama.
UAE yang menewaskan Hong Kong 3-1 pada aksi pembukaan Ahad lepas, terlebih dahulu di depan selepas penyerang Sultan Adil bijak meloloskan diri daripada kawalan kapten Palestin Mus'ab Al Battat untuk menanduk masuk bola hantaran lintang cantik Ali Saleh dari sebelah kiri pada minit ke-23.
Namun, rentak positif UAE bimbingan Paulo Bento terhenti apabila pemain pertahanan Khalifa Al Hammadi diperintahkan keluar padang pada minit ke-37 susulan dilayangkan kad merah, selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau menjatuhkan penyerang Oday Dabbagh.
Palestin kendalian Makram Daboub yang tewas 1-4 kepada Iran pada perlawanan sulung Ahad lepas, bagaimanapun mensia-siakan peluang keemasan itu untuk menyamakan kedudukan lebih awal apabila penalti Tamer berjaya dibaca Eisa pada minit ke-39.
Situasi UAE yang terpaksa bermain dengan 10 pemain itu membina keyakinan dalam diri pemain Palestin yang tampil lebih menguasai permainan dengan sesekali mencipta peluang berbahaya.
Palestin yang bekerja keras memburu gol penyamaan terus tidak bernasib baik apabila dua percubaan pada masa kecederaan babak pertama masing-masing menerusi rembatan Seyam dan tandukan Dabbagh sedikit tersasar dari gawang.
Pasukan ranking dunia ke-99 itu akhirnya menyamakan kedudukan selepas pemain UAE, Bader Nasser tertanduk bola masuk ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang Seyam pada minit ke-50, sekali gus"menggegar" stadium berkapasiti kira-kira 45,000 penonton itu.
Sejurus gol berkenaan, emosi ditunjukkan sukar dipercayai apabila penyokong memegang kepala, bersorak kegembiraan serta melompat, selain pemain Lions of Canaan menggesa kira-kira 41,000 penonton yang hadir untuk mengekalkan bunyi bising dan melaungkan"Palestin".
Palestin yang mengutip mata pertama malam ini perlu meraih kemenangan berdepan Hong Kong bagi menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik pada aksi terakhir kumpulan Selasa depan, sementara UAE akan membuat perhitungan dengan juara tiga kali, Iran pada hari yang sama.
UAE kini mendahului saingan Kumpulan C dengan mengumpul empat mata, diikuti juara tiga kali Iran di tempat kedua (tiga mata), manakala Palestin mengutip satu mata dan Hong Kong tercorot tanpa mata.
Perlawanan ini merupakan penampilan ketiga Palestin di pentas Piala Asia sejak kali pertama layak pada edisi 2015 di Australia dan gagal merekodkan sebarang kemenangan setakat ini.