BERMATA satu, zalim dan menyesatkan. Itu gambaran yang sering diungkapkan kebanyakan orang tentang makhluk bernama dajal.
Sebenarnya, dajal bukanlah mempunyai satu mata sebagaimana pemahaman biasa kita.
Menerusi teks khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada minggu lalu, ada dijelaskan tentang ciri-ciri makhluk berkenaan.
"Di atas mata kirinya pula ada daging tumbuh, tertulis di antara kedua matanya ‘kaf fa ra’ (kufur) yang dapat dibaca oleh setiap Mukmin sekalipun orang itu buta huruf.
"Makhluk itu juga mandul dan tidak mempunyai anak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Iman Benteng Dajal’.
Kemunculannya sudah pasti dan ia merupakan antara tanda besar kiamat. Sebagai orang beriman, wajib untuk kita mempercayainya, tetapi hanya ALLAH SWT sahajalah YANG MAHA MENGETAHUI bilakah ketibaan dajal.
Mimbar menyebut, makhluk yang akan menyesatkan manusia dikatakan muncul dari arah timur Khurasan dengan diiringi oleh 70,000 orang Yahudi Isfahan (sebuah kota di tengah Iran).
Kalaulah semua tahu betapa jahatnya dajal, pasti tiada siapa yang mahu hidup pada zaman berkenaan.
Fitnah paling besar
Bayangkan selama 40 hari di muka bumi, makhluk itu akan terus menyesatkan manusia.
Terdapat pandangan lain menyatakan, sehari ibarat sebulan, seminggu dan hari-hari biasa.
Paling ditakuti apabila dajal dikatakan berjalan di muka bumi dengan cepat seperti hujan yang ditiup angin.
"Semua tempat akan dimasukinya kecuali Makkah dan Madinah kerana kedua-dua kota tersebut dijaga oleh para malaikat.
"Ketika dia tidak dapat masuk ke Madinah, maka kota berkenaan bergoncang tiga kali, lalu keluarlah orang kafir dan munafik menuju kepada dajal.
"Dalam satu riwayat lain, disebutkan bahawa Dajal tidak dapat masuk empat masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi, al-Aqsa dan al-Tur,” katanya.
Mengelirukan manusia
Ketahuilah bahawa dajal merupakan fitnah paling besar sejak ALLAH SWT menciptakan Nabi Adam AS hingga hari kiamat.
Masakan tidak, dajal akan mengelirukan manusia dengan membawa dua sungai yang mengalir. Salah satunya terlihat air putih, manakala satu lagi kelihatan api yang menyala-nyala.
"Apabila seseorang mendapati hal itu, hendaklah dia masuk ke sungai yang nampak api. Pejamkan mata, tundukkan kepala dan minumlah. Itu ialah air yang sejuk.
"Malah dia juga menghidupkan orang yang mati dan lain-lain sebagai fitnah (ujian) bagi kaum Muslimin. Itulah kedahsyatan fitnah yang dibawakan oleh dajal,” ujarnya sambil menjelaskan akhirnya makhluk itu akan dibunuh oleh Nabi Isa AS di Bab Ludd (sebuah desa berhampiran Bait al-Maqdis, Palestin).
Persiapan diri
Apakah yang perlu dilakukan oleh umat Islam untuk mempersiapkan diri menghadapi segala fitnah dajal?
Mimbar menyeru agar kita bersiap siaga dengan keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Sang Pencipta.
"Hanya iman kepada ALLAH jualah benteng pendinding dan penyelamat kita daripada fitnah dajal yang sangat mengelirukan.
"Ya, kita tidak tahu bilakah terjadinya hari kiamat, tetapi dituntut agar melakukan persediaan menghadapinya,” ungkapnya.
Caranya adalah dengan:
1. Berlindung kepada ALLAH SWT daripada fitnahnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang antara kamu telah selesai tasyahud akhir, maka berlindunglah kepada ALLAH daripada empat perkara: dari azab jahanam, azab kubur, fitnah hidup dan mati dan kejahatan fitnah al-masih ad-dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim)
2. Menghafal dan menghayati 10 ayat pertama dari Surah al-Kahfi.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa yang hafal 10 ayat pertama dari Surah al-Kahfi, dia terjaga daripada fitnah dajal.” (Hadis Riwayat Muslim)
3. Beruzlah (mengasingkan diri) atau menjauhi tempat fitnah dan tidak mengikutinya.
4. Berpegang dengan petunjuk al-Quran dan hadis.
5. Senantiasa bersama dengan ulama dan jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
6. Memperbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada ALLAH SWT.
7. Memperbanyakkan zikrullah.
Sama-sama kita melazimkan amalan berkenaan. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat ALLAH.