PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pemakaian seragam sekolah selama dua hari bagi setiap minggu bagi sesi persekolahan 2024/2025 yang bermula Mac ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kelonggaran pemakaian baju sukan yang ketika ini dibenarkan di fasiliti KPM juga diteruskan selama dua hari manakala sehari lagi ditetapkan untuk pemakaian seragam kokurikulum.
Menurutnya, ketetapan itu diputuskan selepas sesi libat urus bersama industri pendidikan dan komuniti dilakukan KPM.
Kelonggaran pemakaian baju sukan dibuat KPM pada 3 Mei tahun lalu susulan cuaca panas melanda negara bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan terhadap murid, guru dan kumpulan pelaksana.
Sementara itu pada sidang akhbar Fadhlina berkata, sekolah akan diberikan kuasa autonomi untuk menentukan hari pemakaian seragam, baju sukan dan kokurikulum.
"Itu akan diperincikan di dalam surat pemakluman," katanya sambil menambah ketetapan itu untuk memudahkan ibu bapa yang membuat persiapan awal sesi persekolahan akan datang.
Pada perkembangan lain Fadhlina berkata, KPM juga menyasarkan untuk melatih 8,000 guru opsyen Bahasa Inggeris dalam usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid.
"Setakat tahun 2023, sebanyak 50 peratus guru KPM mendapat The Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) Tahap 1," katanya.
Terdahulu beliau berkata, inisiatif reformasi pendidikan telah dimulakan secara beransur-ansur.
"Dalam tidak sedar kita telah mengembalikan takwim persekolahan kepada Januari," katanya.
Menurutnya, inisiatif penambahan pengambilan guru baharu sangat signifikan kepada kementerian dalam usaha menampung keperluan.
"Sehingga Disember 2023 seramai 18,792 guru baharu tahun lalu dan Insya-ALLAH akan bertambah sebelum berakhir sesi 2023/2024
"Barangkali inisiatif yang paling membahagiakan," katanya.