TANGAN yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia bukan sekadar peribahasa atau omongan semata-mata. Ia benar-benar terbukti dan begitu cocok dengan wanita hebat pada zaman Rasulullah SAW bernama Asy-Syifa’ binti Abdullah.
Meskipun seorang Muslimah, namun kebolehan dan ketinggian ilmu yang dimiliki tidak boleh disangkal lagi.
Namanya sentiasa meniti pada bibir masyarakat sekitar era berkenaan. Masakan tidak, pemilik nama asal Laila binti Abdullah bin Abdu Syams bin Khalaf bin Sadad bin Abdullah itu diperakui kehandalannya dalam membaca dan menulis. Pada zaman itu, tidak ramai yang celik huruf, hanya dianggarkan sekitar 20 orang sahaja termasuk Asy-Syifa'.
Menjejaki historiografi, Asy-Syifa’ sememangnya menjadi guru dan rujukan ramai. Bahkan, dirinya cukup disenangi kerana tidak lokek berkongsi pengetahuan dimiliki.
"Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Mushthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi dalam Nisaa’ Haular Rasuuli (Wanita Teladan di Zaman Rasulullah SAW) menyatakan, Asy-Syifa’ dikenali sebagai Muslimah yang cerdas dan utama.
"Malah, beliau merupakan salah seorang tokoh Islam yang menonjol dan di dalam dirinya, terhimpun pengetahuan dan keislaman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.
Selepas memeluk Islam, Asy-Syifa’ terus mengabdikan dirinya dengan mengajar para Muslimah lain semata-mata untuk mendapatkan ganjaran kerana ALLAH SWT.
Maka tidak hairanlah mengapa beliau disebut-sebut sebagai guru wanita pertama dalam Islam sebagaimana dipetik menerusi portal kalam.sindonews.com. Anak muridnya juga bukan sembarangan orang.
"Antara individu yang mendapat pendidikan daripada wanita hebat ini ialah Hafshah binti Umar bin Al-Khattab, isteri Rasulullah SAW.
"Dalam sebuah hadis ada meriwayatkan bahawa baginda meminta Asy-Syifa’ untuk mengajarkan Hafshah menulis dan sebahagian ilmu rukyah (perubatan dengan doa),” katanya dipetik menerusi laman web berkenaan.
Satu lagi kemahiran penting yang dimiliki oleh Asy-Syifa’, beliau sebenarnya handal dalam bidang perubatan ketika zaman jahiliah. Tatkala beliau kembali kepada fitrah Islam, dirinya terus mengalirkan bakat dan kepakarannya untuk mengajar serta merawat orang lain.
Tambah istimewa lagi, wanita tersebut turut menyelitkan doa ketika proses rawatan rukyah dilakukannya.
Antara doa yang sering dibacakan termasuklah:"Ya ALLAH Tuhan manusia, YANG MAHA MENGHILANGKAN PENYAKIT, sembuhkanlah kerana ENGKAU MAHA PENYEMBUH, tiada yang dapat menyembuhkan selain ENGKAU, sembuh yang tidak terjangkiti penyakit lagi.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Dalami ilmu hadis, agama
Dek kerana kepakarannya itu, Rasulullah SAW memberikannya sebuah rumah khas di Madinah berhampiran dengan mereka yang menderita penyakit gatal.
Wanita itu tinggal di kediaman tersebut bersama anaknya, Sulaiman.
Beliau tidak lupa diri, apatah lagi mendabik dada dengan kurniaan tersebut. Sebaliknya, kesempatan yang terbentang luas itu membolehkannya mempelajari ilmu hadis daripada Nabi Muhammad SAW, selain mendalami masalah agama dan duniawi.
"Dengan ilmu itulah beliau berdakwah dan memberi nasihat kepada orang ramai.
"Bahkan, Umar bin Al-Khattab memuji kepintaran dan fikrah Asy-Syifa’, selain acap kali menerima pandangannya,” katanya sebagaimana dipetik daripada portal berita berpengaruh di Indonesia itu.
Laman sesawang akurat.com melaporkan, ketika Nabi Muhammad SAW ke rumahnya, Asy-Syifa’ menyediakan tempat istimewa sebagai penghormatan ke atas Baginda.
Seperkara lagi yang menarik tentang wanita hebat itu, beliau sebenarnya juga merupakan salah seorang perawi hadis.
Terdapat beberapa hadis yang pernah diriwayatkan oleh Asy-Syifa’ daripada Rasulullah SAW, selain Umar bin Al-Khattab.
"Bahkan, beberapa orang turut meriwayatkan hadis yang datang daripadanya. Antaranya seperti anaknya, Sulaiman bin Abu Khaitsumah, dua orang cucunya iaitu Abu Bakar dan Uthman, Abu Ishaq dan ummul mukminin Hafshah,” katanya.
Sumbangannya kepada agama tidak terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, Asy-Syifa’ terus memerhatikan keadaan kaum Muslimin dan memuliakan mereka sehingga beliau meninggal dunia pada tahun ke-20 Hijrah.
PROFIL
Nama penuh: Laila binti Abdullah bin Abdu Syams bin Khalaf bin Sadad bin Abdullah.
Gelaran: Asy-Syifa’ dan guru wanita pertama dalam Islam.
Asal: Bani Adi daripada kaum Quraisy Makkah.
Sumbangan: Menggunakan perubatan tradisional untuk merawat orang sakit, mengajar khat, membaca dan menulis serta pernah menjadi pegawai pemeriksa di pasar di Madinah ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.