KDN rampas jam digital kandung ayat Al-Quran, azan

Iklan
KDN merampas jam dinding digital bernilai RM1.1 juta yang menyalahi Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas Al-Quran berbentuk jam dinding digital bernilai RM1.1 juta menerusi serbuan empat premis di sekitar Lembah Klang, bulan lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, operasi hasil risikan dan maklumat itu bertindak menyita 3,254 unit jam dinding digital yang mengandungi audio 30 juzuk Al-Quran dengan fungsi azan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan diambil kerana menyalahi Seksyen 6(1) Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 iaitu tiada perakuan KDN.

"Dipercayai jam dinding ini diimport dari China untuk pasaran tempatan dan usaha sedang dijalankan untuk kesan dalang terlibat," katanya dalam sidang akhbar di KDN di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, kesalahan yang dikesan ialah bacaan pada jam digital itu secara berulang-ulang, bacaan dan maksud tidak sempurna iaitu bercampur aduk dengan laungan azan serta terjemahan yang tidak menepati penggunaan terjemahan di Malaysia iaitu berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman.

Jelasnya, mana-mana penerbitan Al-Quran dalam apa juga bentuk yang mengandungi satu juzuk atau lebih hendaklah mendapatkan perakuan KDN.

Antara jam dinding digital yang mengandungi audio 30 juzuk Al-Quran dan azan yang dirampas KDN atas kesalahan di bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986.

Iklan

"Ini perlu melalui proses semakan pakar sebelum diedar atau dijual di negara ini sebagai kawalan bagi menjamin kesucian ayat Al-Quran dan bagi mengelak dikelirukan," ujarnya.

Tambah Nik Yusaimi, berikutan itu, empat pemilik premis warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah diambil tindakan mengikut akta terbabit.

"KDN akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pengimportan, pengedaran dan penjualan Al-Quran yang menyalahi akta ini.

"Orang ramai diminta salurkan maklumat dengan menghubungi talian aduan 03-80008000 atau hotline 88893145, emel aduanpk@moha.gov.my atau melalui laman web www.moha.gov.my," ujarnya.