PUTRAJAYA - Guru Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negara dipelawa untuk menyertai program pembudayaan STEM anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk program tersebut melibatkan 10 buah sekolah yang akan dipilih sebagai projek rintis.
"Saya bagi masa dua minggu kepada guru-guru STEM untuk fikirkan apakah aktiviti atau program sesuai untuk membudayakan pendidikan ini," katanya menerusi Amanat Tahun Baharu di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kementerian akan mengeluarkan tawaran tersebut dalam masa terdekat.
"Sampaikan kepada guru kita untuk pastikan mereka menyertai program ini agar pembudayaan STEM ini akan diterajui guru tempatan sekali gus memberi impak kepada perjalanan STEM negara," katanya.
Menyentuh mengenai kriteria sekolah pembudayaan STEM, beliau berkata, ia akan ditentukan kementerian.
"Ada kriteria mengenai bagaimana pembudayaan STEM itu dari segi aktiviti dan programnya.
"Sebab itu saya katakan tadi 'homework' guru-guru adalah menghantar permohonan kepada KPM dan kita akan pilih sekolah mana yang boleh memberi pandangan untuk mewujudkan ekosistem pembudayaan STEM di sekolah masing-masing.
"Kita tunggu permohonan mereka," katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM memantau Sistem Pengurusan Identiti (iDME) setiap jam bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik.
"Kita tambah baik dari semasa ke semasa dan pantau dengan ketat kerana kita tahu proses ini, maknanya dalam konteks guru atau pelanggan kita yang menggunakan sepenuhnya iDME untuk tujuan berkaitan pentaksiran anak-anak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu KPM melihat semula penggunaan sistem tersebut.
Ia susulan terdapat keluhan daripada pendidik melalui media sosial dan aduan diterima mendapati guru amat tertekan apabila menggunakan iDME.