Polis Selangor terima peruntukan RM6.7 juta baiki, selenggara kuarters

Iklan
Hussein

SHAH ALAM - Polis Selangor menerima peruntukan RM6.7 juta melalui Peruntukan Madani Kementerian Dalam Negeri Tahun 2023 bagi melaksanakan pembaikan dan penyelenggaraan kuarters polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kuarters Balai Polis Bandar Sultan Suleiman di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara merupakan salah satu lokasi kuarters yang terlibat dengan projek pembaikan dan penyelenggaraan yang berkonsepkan pembesaran ruang kediaman dua unit kepada satu unit rumah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini lebih bersesuaian dengan keadaan masa sekarang bagi menjaminkan kediaman yang lebih selamat dan kondusif bagi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kuarters ini dijangka akan diduduki sepenuhnya oleh warga polis di Balai Polis Sultan Suleiman pada akhir Disember 2023," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Selain itu, Hussein berkata, bagi perolehan dan penggantian peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), Jabatan Logistik dan Teknologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah menerima 40 unit komputer jenama Dell Inspiron 3020, 50 unit komputer riba jenama Dell Inspiron15 3520 dan 199 pencetak jenama OKI B412 dengan kos perolehan sebanyak RM593,505.

Ujarnya, peralatan ICT ini sedang agihkan secara berperingkat ke jabatan di IPK Selangor serta daerah-daerah.

Iklan

"Untuk makluman juga, mesin pencetak yang diterima adalah untuk menggantikan 163 unit mesin faksimili yang telah tamat kontrak perkhidmatan pada 31 Januari 2023 yang lalu," katanya.

Tambahnya, Polis Selangor melalui Jabatan Logistik dan Teknologi IPK Selangor juga telah menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebanyak 20 unit komputer dan 20 unit pencetak model Canon Pixma untuk menampung keperluan di kontinjen.

Dalam pada itu, Hussein berkata, Jabatan Logistik dan Teknologi Kontinjen Selangor juga telah melaksanakan proses pelupusan 45 kenderaan pelbagai jenis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) pada 24 Oktober 2023 melalui kaedah sebut harga.

"Hasil daripada pelupusan tersebut, sebanyak RM70,581 telah dimasukkan ke dalam wang hasil kerajaan.

"Jabatan Logistik dan Teknologi amat komited dalam tadbir urus pengurusan kewangan, perolehan dan fasiliti PDRM bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada warga Polis Selangor," katanya.