KAJANG - Akta Parlimen Berpenggal Tetap tidak boleh dianggap sebagai tidak demokratik, kata Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata, banyak negara telah melaksanakan sistem itu yang mengekalkan kerajaan dalam tempoh penggal tertentu.
"Kalau kita lihat ini (parlimen berpenggal tetap) sebagai tidak demokratik, banyak negara di dunia ini (disifatkan sebagai) tidak demokratik sebab penggal (kerajaan) mereka adalah tetap.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab program Bicara Tokoh anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) bertajuk"Akta Antilompat Parti dan Kestabilan Kerajaan” di sini pada Jumaat.
"Kalau kita tetapkan tarikh PRU dalam masa lima tahun, maknanya kuasa Perdana Menteri itu yang kita tarik sebenarnya, iaitu untuk menentukan bila boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon baginda membubarkan Dewan Rakyat.
"Walaupun dalam Perlembagaan mengatakan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa iaitu kuasa yang kedua untuk menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat apabila diminta Perdana Menteri, tetapi berapa lama Yang di-Pertuan Agong menangguhkan itu tidak ada disebut,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Akta Parlimen Berpenggal Tetap: Jelaskan maksud hilang keyakinan terhadap PM
Akta Parlimen Berpenggal Tetap elak pilihan raya mengejut
Pada 13 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya satu rang undang-undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.
Cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi peristiwa seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 pada masa hadapan. - Bernama