SEBAGAI melengkapkan lagi barisan model terkini, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memperkenalkan satu lagi model bagi kategori entry level iaitu Dominar D250.
Dilancarkan pada Mei 2023 sempena Malaysia Autoshow 2023, D250 adalah motosikal berciri naked versi ‘B2’ yang saling tak tumpah seperti abangnya, Dominar D400.
Hampir keseluruhan bentuk adalah sama kecuali enjin bernadikan kuasa 249cc satu silinder DOHC Twin Spark selain beratnya hanya sekitar 183 kilogram (kg) berbanding D400 seberat 190kg.
Kesempatan menunggang uji model versi Sport-Tourer ini memberi satu pengalaman baharu.
Tiada masalah untuk D250 menempuh sebarang permukaan jalan raya sama ada basah atau kering, lurus atau berliku.
Rahsianya ada pada motosikal itu sendiri. Dibekalkan enjin suntikan bahan api dengan sejukan cecair yang terbukti lasak daripada induknya Bajaj Auto, tiada masalah sepanjang mengharungi perjalanan jauh atau dekat.
Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, D250 mampu menghasilkan kuasa sehingga 26.6 hp dan daya kilas setinggi 23.5 Nm.
Bimbang tidak sempat berhenti ketika keadaan mendesak, gabungan brek daripada ByBre pada cakera 300 milimeter (mm) di roda hadapan dan cakera 230mm di belakang memastikan jarak berhenti yang pendek.
Terima kasih kerana D250 turut dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada kedua-dua roda.
Dominar D250 didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar bersaiz 100/80 di depan dan 130/70 di belakang.
Melayan selekoh juga tidak memerlukan bakat yang tinggi kerana D250 hadir dengan sistem suspensi hadapan terbalik USD 27mm manakala gantungan belakang dilengkapi monoshock bersama ciri pelarasan prabeban dan tabung Nitrox.
**media[2505671]*Berbalik kepada rekaannya, D250 didatangkan bersama tangki sebesar 13 liter yang mampu mencapai jarak sehingga 300 kilometer hanya dalam satu isian penuh, sesuai dengan identitinya sebagai motosikal kembara.
Malah, gaya pencahayaan juga turut dipertingkatkan dengan teknologi LED pada lampu hadapan, brek dan isyarat. Sebagai nilai tambah, panel meter juga hadir dengan paparan LCD yang moden dan terkini.
Dominar D250 ditawarkan dengan tiga warna pilihan iaitu Racing Red, Sparkling Black dan Citrus Rush dan dijual pada harga disyorkan RM13,797 bersama jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer.