JAKARTA - Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri menyeru seluruh rakyat negara itu membuat keputusan yang betul menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 pada Februari depan.
"Saya fikir untuk menyedarkan semua rakyat Indonesia, pilihan raya ini sebenarnya untuk anda, bukan orang lain. Ia adalah hak anda untuk menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin seterusnya.
"Hak rakyat untuk menang, jangan takut dengan ugutan, jangan takut kuasa kerana kuasa tidak kekal, yang kekal ialah ALLAH SWT. Ingat," kata Megawati pada Jumaat.
Bagi Megawati, prinsip kebenaran sangat penting untuk dijadikan panduan kepada seluruh rakyat Indonesia yang bakal memilih presiden baharu Indonesia bagi menggantikan Joko Widodo (Jokowi).
"Seperti yang diajar oleh semua agama, manusia akan sentiasa diberi ujian dan jalan kebenaran mesti sentiasa menjadi panduan anda, jangan takut untuk mempertahankan kebenaran.
"Sebagai manusia kita sentiasa diberi ujian. Itu yang diajar semua agama. Kita akan sentiasa diuji sama ada kita orang baik atau orang jahat," katanya.
"Kuasa itu bagus. Tetapi bagi saya, jika terpaksa berhenti, berhentilah. Jangan lupa daratan. Ini ujian, jangan lupa. Manusia sentiasa diduga," tegasnya yang juga Ketua Umum Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
PDI-P mempertaruhkan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo sebagai calon presiden (capres) kali ini.
Dua lagi pencabarnya ialah Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan. - Agensi