SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes Influenza Like-Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di negara ini masih masih dalam julat yang normal dan hampir sama dengan tahun-tahun sebelumnya biarpun berlaku sedikit peningkatan sejak pertengahan Disember 2019 lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisa oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap virus influenza ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia mengalami mutasi sehingga mencetuskan kemunculan virus influenza baharu.
Menurutnya, berdasarkan trend yang direkodkan daripada aktiviti survelan kadar konsultasi kes ILI dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan SARI melibatkan beberapa lokasi sentinel dikenal pasti dari seluruh negara.
"Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan IMR juga bertanggungjawab bagi memantau sebarang perubahan kepada virus influenza yang terdapat di negara ini.
"Justeru, berdasarkan trend yang direkodkan dari aktiviti survelan berkenaan, terdapat sedikit peningkatan kes ILI dan SARI sejak pertengahan bulan Disember 2019.
"Namun begitu, peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal dan hampir sama dengan tahun sebelumnya. Begitu juga, tiada peningkatan ketara bagi kejadian wabak jangkitan saluran pernafasan dilaporkan dalam tempoh yang sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham turut menasihati orang ramai berhubung kaedah mengendalikan pesakit yang disyaki dijangkiti influenza terutamanya dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini.
Katanya, jika terdapat keperluan orang ramai boleh menggunakan ubat paracetamol mengikut dos yang tepat selain mendemah bahagian badan pesakit seperti kepala, kaki dan badan menggunakan tuala basah.
"Elakkan daripada memberikan ubat Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS) untuk mengurangkan demam kerana terdapat bukti klinikal yang menunjukkan penggunaannya boleh meningkatkan risiko komplikasi jangkitan influenza seperti radang otak di kalangan kanak-kanak.
"Selain itu antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah dengan memastikan pesakit minum secukupnya untuk kekal terhidrat.
"Sila bawa pesakit berjumpa doktor dengan segera sekiranya demam tidak berkurangan atau mempunyai gejala penyakit influenza seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan," katanya.
Sementara itu, pihak KKM turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan kerap membasuh tangan dengan air, sabun atau hand sanitizer selain mengamalkan adab yang baik ketika batuk.
Selain itu katanya, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi khususnya adalah digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan di kebanyakan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.
"Bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza adalah dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai; sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.
"Mereka juga dinasihati untuk menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin dan tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah.
"Selain itu, mereka perlu mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain dan segera segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak yang berterusan," katanya.