Harimau Malaya kekal ambil risiko berdepan Bahrain

Iklan
Kim Pan-Gon dan Shahrul Saad pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan E, Malaysia menentang Bahrain sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Jumaat. Foto Bernama

MALAYSIA tidak akan mengubah pendekatan permainan yang berani dan pantas biarpun tekanan sedang memuncak menjelang perlawanan hidup mati bertemu Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hammad esok.

Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon berkata, skuad Harimau Malaya sudah bermain dengan pendekatan sama sejak beliau mengambil alih pasukan pada Januari 2022 dan barisan pemain semakin selesa serta memahami lebih mendalam apa yang dimahukannya.

Iklan
Iklan

Pengendali dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu berkata, pendekatan permainan pasukannya juga berhasil memberikan kemenangan demi kemenangan dengan jumlah jaringan yang besar dan itu adalah DNA bola sepak Malaysia yang mahu diterapkan.

Justeru beliau akan mengekalkan pendekatan sama yang digunakan ketika tumpas 0-4 di tangan Jordan pada aksi pembukaan Isnin lepas (awal pagi Selasa) apabila berdepan skuad Dilmun’s Warriors itu.

Iklan

"Sejak dua tahun lepas, kita berhadapan dengan pasukan yang serupa seperti Jordan - Syria, China, India, dan Tajikistan.

"Menang, seri, atau kalah, kita akan betarung dengan cara yang sama... ini adalah cara kita, ini adalah cara Malaysia. Kita memberikan kemenangan 10-0, kemenangan 4-1, kemenangan 4-2, dan kita menjaringkan banyak gol dengan taktikal ini.

Iklan
"Bagi perlawanan Bahrain, sama juga, kita akan mendekati dengan berani untuk cuba menguasai dan menyerang mereka untuk membuat mereka bergelut. Ini cara Malaysia, jika kita tidak melakukan ini, ini bukan Malaysia," katanya dalam sidang media praperlawanan, di sini pada Jumaat.

Pan Gon berkata, pasukannya akan cuba memburu gol awal, namun perlu berhati-hati dan bermain secara bijak memandangkan Bahrain adalah pasukan yang kuat.

Pada masa sama, beliau berkata, para pemain telah melupakan kekalahan memeritkan di tangan Jordan dan kini berada pada tahap terbaik dari segenap aspek terutama dari segi mental dan psikologi.

"Selepas kekalahan besar, pemain dan saya sendiri sebagai jurulatih rasa kecewa. Keputusan tidak seperti yang dijangkakan tetapi itulah bola sepak.

"Pemain kini sudah cukup matang dan tahu bagaimana menguruskan situasi. Kami adalah Malaysia, mereka mempunyai mentaliti yang sangat kuat dan yakin pemain akan bangkit dengan lebih kuat,” katanya.

Shahrul Saad (kanan) dan Kim Pan-Gon (kiri) pada sidang media Pra-Perlawanan bagi Kumpulan E, Malaysia menentang Bahrain sempena Piala Asia 2023 di Pusat Media Utama pada Jumaat. Foto Bernama

Sementara itu, pemain pertahanan tengah negara, Mohd Shahrul Mohd Saad melihat perlawanan esok sebagai titik perubahan pasukan dan percaya rakan sepasukannya mampu mencipta keputusan positif.

"Kami akan memberikan segala-galanya dan berjuang sehingga tamat untuk mendapatkan tiga mata.

"Walaupun sukar tetapi kami tidak akan berputus asa dan percaya dalam membuat sesuatu,” kata pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 30 tahun itu.

Malaysia dan Bahrain memulakan kempen Kumpulan E dengan langkah sumbang yang menyaksikan Bahrain tumpas 1-3 kepada juara dua kali, Korea Selatan, manakala Malaysia yang beraksi di bawah tahap sebenar diaibkan Jordan 0-4.

Sebagai rekod, Bahrain menang dalam tiga pertemuan terakhir berdepan Malaysia dengan kali terakhir mereka bertemu menyaksikan Bahrain terpaksa bekerja keras sebelum menang 2-1 pada aksi kumpulan saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Jun 2022.

Perlawanan esok merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia.

Bahrain yang dibimbing Juan Antonio Pizzi menghuni ranking dunia lebih baik di posisi ke-86 manakala Malaysia di tangga ke-130. - Bernama