"Nak kecam DJ Lin tak apa, tapi jangan sentuh anak saya kerana mereka tak bersalah.”
Itu pinta Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin selepas kontroversi melibatkan dirinya dengan bekas rakan penyampai, Tyzo Xander hangat diperkatakan sejak seminggu lalu.
Tidak menyalahkan netizen yang mencemuhnya sejak isu penamatan kontrak Tyzo minggu lalu, DJ Lin bagaimanapun berharap netizen lebih bertimbang rasa dan tidak melibatkan dua cahaya matanya dalam hal kerja.
"Saya dikecam sejak video viral Jumaat lalu, dah tujuh hari saya dilemparkan cacian serta tohmahan. Saya juga tak boleh salahkan netizen.
"Cuma jangan libatkan anak saya. Anda menghukum tanpa asas kukuh dan anak-anak saya juga mempunyai emosi serta perasaan,” katanya.
Bekas pemenang Penyampai Radio Popular untuk tiga tahun berturut-turut itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Ruang Udara Suria di Menara Star pada Jumaat.
Tambah DJ Lin, kontroversi yang tidak terjangka itu secara tidak langsung telah menenggelamkan rekod baik yang dibina sejak 25 tahun lalu.
Bagaimanapun wanita berusia 48 tahun itu reda dan mengganggap kontroversi yang datang sebagai ujian untuk menguatkan lagi dirinya.
"Saya reda dengan ujian ini, saya pun baru berhijrah (bertudung) lepas balik dari umrah. Saya harus belajar lebih reda dan berharap untuk terus kuat untuk anak buah saya seramai 50 orang di Suria FM.
"Apa saja dugaan saya tempuhi walaupun kesalahan itu bukan saya lakukan, harap ada kemanisan buat saya,” tuturnya yang menganggap Tyzo seperti adiknya.
Imbau DJ Lin, dia berusaha keras membina jenama dirinya sejak ceburi industri pada 1999.
Malah tanggungjawab menjadi lebih besar apabila dia memegang jawatan Pengurus Besar sejak 2021.
"Saya jadi popular satu Malaysia. Selama 25 tahun dalam industri radio, saya kekalkan rekod cemerlang bersama 13 anugerah besar.
"Saya pernah dikecam bekas penyampai radio di bawah Suria FM, jadi saya sudah lali dengan kecaman.
"Arwah ibu saya juga tak nafikan memang radio adalah nombor satu buat saya dan keluarga pula jatuh nombor dua,” ujarnya.