KUALA LUMPUR - Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2023 (DPT BLN12/2023) yang telah diperaku dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan selama 30 hari hingga 17 Februari depan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN12/2023 mengandungi 38,285 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Disember lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Beliau berkata, daftar pemilih itu juga mengandungi 6,139 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,671 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
"SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Disember 2023 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2023.
"Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2023, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ikmalrudin berkata, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Menurutnya Borang C dan D itu juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan serta membayar fi bantahan pada waktu pejabat, pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN12/2023.
Bagi semakan DPT BLN12/2023, SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR (https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my); portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri (http://ppn.spr.gov.my); aplikasi dalam talian (https://myspr.spr.gov.my); aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih melalui talian 03-8892 7218. - Bernama