Sampai bila perang panjang di Gaza?

Iklan
Seorang wanita Palestin tidak dapat menahan kesedihan selepas kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza terus menjadi sasaran bedilan rejim Zionis.

KHAN YUNIS - Operasi pencerobohan darat rejim Zionis telah pun sampai ke titik paling selatan di Genting Gaza pada Khamis ketika kempen pengeboman terus diperhebatkan dan perang panjang itu tiada tanda menunjukkan akan berakhir.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan angkuh menyatakan Briged Givati telah mara ke bandar Khan Yunis dan terlibat pertempuran jarak dekat dengan menerima bantuan sokongan unit kereta kebal dan udara.

Iklan
Iklan
Unit kereta perisai IDF mengambil kedudukan di selatan Israel yang bersempadan dengan Genting Gaza.

Pihak berkuasa Hamas melaporkan hampir 100 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam termasuk kira-kira 16 serangan ke atas sebuah rumah di bandar Rafah, di mana ramai orang telah melarikan diri.

Penduduk Palestin menunaikan solat jenazah terhadap mangsa yang terkorban dalam serangan di selatan Gaza.

Umm Walid al-Zamli memberitahu, dia kehilangan anak dan rumahnya akibat bedilan itu.

Iklan

"Apa salah mereka hingga dibunuh kejam sedangkan anak sulung saya masih kecil?” katanya dalam nada sebak.

Seorang lelaki membawa jenazah anak perempuannya yang terkorban di selatan Gaza.

Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberi alasan kononnya Khan Yunis menjadi sasaran bedilan kerana mahu menghapuskan kepimpinan Hamas seperti yang dicapai di bahagian utara Gaza.

Iklan

Perang ganas yang sudah berlarutan selama lebih 100 hari telah menyebabkan kira-kira 85 peratus daripada 2.3 juta populasi Gaza hilang tempat tinggal dan tiada tempat selamat untuk dituju.

Rejim Zionis terus melancarkan serangan bertalu-talu ke atas selatan Gaza.

Kebanyakan daripada mereka terpaksa tinggal di kem penempatan sesak atau hanya berlindung di bawah khemah dan bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan di tengah-tengah musim sejuk ketika ini.

Konvoi trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki Rafah selepas melintasi terminal sempadan dari Mesir pada Rabu lalu.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Palestin, Francesca Albanese menegaskan Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan hujan bom bertalu-talu ke atas Genting Gaza.

"Tetapi, undang-undang antarabangsa yang menghendaki tindakan melindungi orang awam yang tidak terlibat secara aktif dalam pertempuran juga wajar dihormati,” jelasnya.

Di Bandar Gaza, Ibrahim Saada yang cuba meneruskan hidup di tengah-tengah kempen pengeboman ganas turut menzahirkan rasa kecewa.

IDF membedil Genting Gaza dari pelbagai arah ketika peperangan ganas itu kini memasuki bulan keempat.

"Kami yang tidak terlibat dalam peperangan ini tidak lagi dapat menanggung kesengsaraan ini. Rejim Zionis benar-benar mahu hapuskan kami,” katanya.

Di Tebing Barat pula, insiden keganasan menyaksikan peningkatan pada tahap tidak pernah berlaku sejak Intifada Kedua pada 2000-05.

Unit kereta kebal IDF semakin mara ke bahagian paling selatan Genting Gaza.

Kementerian Kesihatan di Ramallah mengesahkan lebih 360 penduduk Palestin menjadi korban kezaliman rejim Zionis setelah siri serbuan ganas dilancarkan sejak 7 Oktober lalu.

Jip milik IDF melakukan rondaan di sekitar Tulkarem ketika operasi serbuan ganas terus diperhebatkan di Tebing Barat.

Data terkini Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan kekejaman tanpa henti rejim Zionis ke atas wilayah itu telah meragut 24,448 nyawa, lebih 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam perkembangan berkaitan, bekalan ubat-ubatan untuk tawanan di Gaza dan bantuan kemanusiaan yang bakal disalurkan kepada penduduk Palestin telah tiba di wilayah itu pada Rabu di bawah perjanjian yang menyaksikan Doha dan Paris menjadi pengantara proses tersebut.

Asap tebal memenuhi ruang udara selepas bahagian paling selatan Gaza terus dihujani bom.