Pembekal ubat batuk ditahan

Iklan
Air ketum dan ubat batuk yang berjaya dirampas PGA Batalion 7 di Rantau Panjang. (Gambar kecil: Azhari Nusi)

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 216 botol cecair dipercayai ubat batuk yang digunakan untuk dicampur bersama air ketum berjumlah RM6,480 di sebuah rumah di Kampung Lubok Gong, dekat sini malam tadi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Asisten Azhari Nusi berkata, dalam serbuan dilakukan jam 11 malam itu, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal ubat batuk kepada individu-individu yang menjual air ketum di sekitar Rantau Panjang.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan di bawah rumah suspek membawa kepada penemuan cecair dipercayai ubat batuk.

Iklan

"Kesemua barangan rampasan dan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihak berjaya merampas 82 botol ubat batuk dan 57 bungkus air ketum di sebuah rumah kedai di sekitar Rantau Panjang pada jam 6.45 petang.

Iklan

Katanya, dalam serbuan itu PGA Batalion 7 turut menahan tiga lelaki warga Thailand yang berusia antara 23 tahun hingga 26 tahun.

"Salah seorang daripada mereka positif dadah jenis pil kuda.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,232," katanya.

Azhari berkata, PGA akan terus melipat gandakan operasi dalam membanteras sebarang aktiviti melibatkan jenayah lintas sempadan menerusi penugasan di Op Wawasan.

Katanya, PGA juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat melakukan aktiviti jenayah lintas sempadan ini.