KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menolak sebarang tindakan pemberian DNAA (melepas tanpa membebaskan) atau tidak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau mana-mana ahli politik yang disabitkan berkaitan kes di mahkamah.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, isu pemberian DNAA ini bukanlah perkara baharu malah pernah berlaku beberapa kali melibatkan ahli politik daripada hampir semua parti politik utama dalam negara.
Beliau berkata, pihaknya khuatir perkembangan ini akan meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi penguatkuasaan undang-undang khususnya pejabat Peguam Negara.
"Kenyataan Peguam Negara 15 Januari lalu bahawa pendakwa raya tidak perlu memberi penjelasan apabila memohon menarik semula dakwaan adalah tidak boleh diterima sama sekali.
"Terutamanya apabila kes itu melibatkan kepentingan awam dan ahli politik di peringkat tertinggi pentadbiran negara," katanya pada sidang media ketika 'flash mob' bagi membantah DNAA untuk ahli politik anjuran gabungan tersebut berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek di sini pada Sabtu.
Katanya, sudah tiba masanya Peguam Negara menghentikan segera pemberian DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) kepada kes-kes rasuah khususnya yang melibatkan ahli politik.
"Kami menggesa supaya mereka yang sedang berhadapan tuduhan kes rasuah ini mempertahankan diri dan dibicarakan dengan seadilnya di mahkamah, dan bukannya digugurkan tuduhan mereka.
"Desakan ini penting sementara menanti hasil kajian jawatankuasa bertindak oleh kerajaan Persekutuan berkenaan cadangan untuk memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya," katanya.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa agar untuk mengumumkan garis masa pelaksanaan pemisahan bidang kuasa ini.
"Perkara ini termasuk agenda-agenda reformasi lain termasuk reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pendanaan Politik.
"Rakyat sedang memerhati dan sekiranya pemberian DNAA untuk kes rasuah sebegini berterusan, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bakal terhakis," katanya.
Sebelum ini, kes pengubahan wang haram (AMLA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) ditetapkan September depan.
Ia difahamkan untuk pihak pendakwa raya membuat keputusan sama ada akan memberikan DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) atau tidak kepada tertuduh.
Sementara itu, himpunan anjuran Bersih dan beberapa NGO ini dihadiri puluhan peserta yang memegang plakad berkaitan DNAA melibatkan ahli politik.
Himpunan tersebut berlangsung dalam suasana aman turut dikawal oleh anggota polis bertugas.