KUCHING - Sejumlah 64,900 pemilih berdaftar Indonesia yang bermastautin di Bumi Kenyalang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi Presiden, Naib Presiden Indonesia serta anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dalam pilihan raya umum (Pemilu) pada Februari ini.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sarawak, Raden Sigit Witjaksono berkata, proses demokrasi itu melibatkan dua kaedah iaitu mengundi di pejabat konsulat pada 11 Februari, dan di 153 lokasi ladang yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini yang akan diadakan dari 4 hingga 10 Februari ini.
"Pada 11 Februari iaitu hari Ahad terdapat kira-kira 3,000 pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka di pejabat konsulat, dengan lima kotak undi disediakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Perkhidmatan Imigresen ke-74 di pejabat Konsul Jenderal Republik Indonesia di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua kotak undi akan dikumpul dan dibawa ke bandar raya ini dengan lokasi pelaksanaan penjumlahan undi berlangsung di Pusat Konvensyen Penview di sini pada 14 Februari nanti.
"Bagi proses kira undi, kita akan adakan dari pagi hingga petang atau malam dan setelah itu, kita akan laporkan kepada Jakarta iaitu KPU (Suruhanjaya Pilihan Raya Umum),” katanya.
Beliau berharap proses pengundian itu akan berjalan lancar dengan kerjasama serta bantuan daripada pihak berkuasa Malaysia.
Pemilu 2024 Indonesia menyaksikan tiga calon iaitu Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto; bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan akan bersaing untuk merebut jawatan Presiden pada bulan depan. - Bernama