Pembangunan bandar warisan perlu rujuk RKK

Iklan
Saarani (tiga dari kiri) menunjukkan setem koleksi khas yang dikeluarkan sempena sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

TAIPING - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengingatkan sebarang pembangunan yang dilaksanakan di kawasan bandar warisan dan sejarah perlu merujuk kepada garis panduan di bawah Rancangan Kawasan Khas (RKK).

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak berlakunya sebarang bentuk pembangunan yang dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Iklan
Iklan

"Kalau pembangunan tidak dikawal, kita khuatir akan memusnahkan nilai-nilai warisan yang ada di kawasan itu.

"Jadi kita minta mana-mana pihak yang menyerahkan pelan (pembangunan) bagi mendapatkan kebenaran merancang, perlu terlebih dahulu merujuk kepada RKK," katanya selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.

September lalu, Sinar Harian melaporkan satu RKK Warisan Bandar Taiping (RKKWBT) 2.0 telah dirangka bagi pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan dan sejarah di Taiping.

Iklan

Menerusi RKK tersebut, fokus kerajaan terarah kepada pemeliharaan bangunan warisan yang menekankan kepada kelestarian sejarah dan budaya serta peningkatan aspek penguatkuasaan pemeliharaan bandar selain menjaga kualiti reka bentuk daripada mengalami kemusnahan nilai seni bina.

Sementara itu, Saarani menyambut baik dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap inisiatif MPT melalui sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

Katanya, usaha itu selari dengan hasrat dan perancangan kerajaan negeri untuk menggalakkan aktiviti kemasyarakatan yang berakar umbi dalam warisan tempatan.

"Selepas 150 tahun, mungkin akan ada 200 tahun dan orang mahu lihat apa yang kita ada hari ini akan menjadi bahan sejarah yang boleh kita terjemahkan dan sampaikan kepada generasi muda dan warisan akan datang," katanya.

Taiping yang pernah menjadi ibu negeri Perak sehingga tahun 1937 mula berkembang selepas termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1897 antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah.

Meskipun telah menginjak usia 150 tahun, Taiping terus unggul meneruskan prestasi pencapaian membanggakan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai Bandar Pelancongan utama negeri dan negara.

Antara anugerah yang telah diterima termasuklah Top 3 Best Sustainable City in the World (2018), Top 100 Green Destination in the World (2018), Bandar Paling Bahagia (2020), Best Sustainable Tourism Program (2021), Bandar Bahagia Mesra Usia (2023), Best Muslim Friendly Nature Destination (2023), Anugerah Bandar Mampan (2023) dan yang terbaharu Taiping dianugerahkan sebagai ASEAN Clean Tourist City Standard (2024-2026) peringkat kebangsaan.