Jalan Magandai dalam fasa pembinaan - Shahelmey

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Shahelmey)
KOTA KINABALU - Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya memaklumkan Jalan Magandai di Kota Marudu yang tular di media sosial dalam keadaan becak adalah kerana masih dalam fasa pembinaan.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan menyukarkan kerja pembinaan dilakukan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi, jalan sejauh 40 kilometer itu bermula dari simpang menuju ke Kampung Tondig sehingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai.

"Pihak kontraktor memaklumkan bahawa jentera mereka ada di tapak pembinaan dan juga dihantar ke kawasan yang kerap berlaku kerosakan bagi tujuan membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

Beliau berkata demikian sebagai respons berhubung tular dua video berdurasi 38 saat dan 23 saat memaparkan empat murid sedang berjalan kaki melalui jalan tersebut untuk ke SK Magandai selepas kenderaan yang dinaiki mereka rosak di tengah jalan.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, walaupun pihak kontraktor berhadapan dengan cabaran tersebut namun mereka jentera sentiasa berada di kawasan itu untuk membantu penduduk kampung.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat kanak-kanak tersebut berjalan jauh dalam keadaan berlapar dan kepenatan selain terpaksa menumpang tidur di bawah rumah penduduk kampung dalam keadaan kesejukan.

Bagaimanapun, perjalanan yang jauh 'ditemani' lumpur itu tidak mematahkan semangat empat kanak-kanak tersebut untuk ke sekolah.