BATU PAHAT - Penduduk di lokasi penemuan rangka manusia berserta tengkorak yang disyaki Mila Shamila Samsusah, 32, atau Bella, yakin wanita itu tidak dibunuh di kawasan tersebut.
Mereka mempercayai, mangsa terdahulunya dibunuh di tempat lain, sebelum mayat tersebut diletakkan di sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di sini.
Menurut pesara, Md Hairunizal Alimon, sebelum mayat itu ditemukan, tiada sebarang aktiviti mencurigakan berlaku, bahkan, bau-bauan pelik seperti bangkai turut tidak terhidu penduduk. Sehubungan itu, Md Hairunizal sekeluarga turut terkejut dengan berita penemuan rangka tersebut, yang kurang 20 meter dari kediaman mereka.
"Terperanjat juga sebab kami tak tahu apa-apa, tiba-tiba polis datang bertanya rumah saya ke yang terlibat.
"Memang selama ini tak pernah berlaku pun kes macam ini, sebab selalunya kita akan pastikan siapa yang keluar masuk dekat sini, kita sentiasa awasi dan tengok," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, pada Sabtu.
Tambah Md Hairunizal, keadaan rumah yang menjadi lokasi penemuan rangka itu sudah terbiar selama lebih tiga tahun, di samping berhampiran kawasan semak samun, sekali gus menjadi lokasi strategik buat suspek untuk menyembunyikan mayat.
"Itupun berkemungkinan betul juga... dan satu lagi, di sini, orang selalu sibuk keluar dan masuk jadi mungkin dia rasa selamat, orang tidak akan mengesyaki apa-apa atau siapa pelakunya.
"Tambahan lagi, kalau pergi belakang itu, dah sampai kawasan yang penuh semak samun. Disebabkan itu dia berani buat, sebab merasakan perbuatannya tidak akan terbongkar," ujarnya.
Sementara itu, pembantu tadbir sekolah, Fadilah Md Mery berpendapat, bau ikan yang kuat dari kedai menjual ikan berhampiran, berkemungkinan menyukarkan orang ramai untuk mengesan keberadaan rangka manusia tersebut.
"Kalau nak cerita pasal bau busuk, memang bau ikan itu kuat. Kebiasaannya bila kita terbau sesuatu yang pelik, kita hanya fikir itu bau ikan dari kedai ikan di sebelah.
"Tidak pula kita nak mengesyaki ini bau bangkai atau sebagainya sebab kita pun tak terfikir sampai ada orang nak buang mayat di belakang.
"Kita bila ada tercium bau bangkai, memang kita cuba berfikir baik. Mungkin cuma bau ikan, kalau bukan sekalipun, mungkin bau bangkai biawak, sebab biawak banyak di belakang kerana penuh semak samun," kata Fadilah lagi.
Manakala bagi peniaga ikan, Nurul Ain Sakinah Mohd Jasmi pula, kenderaan yang banyak keluar dan masuk ke lorong kampung berkenaan turut menyebabkan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian pelik atau individu mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Boleh tahan ramai pelanggan yang masuk ke sini dan kebiasaannya pada hari hujung minggu, seperti Sabtu dan Jumaat memang ramai orang.
"Penemuan rangka manusia ini juga terjadi pada hari Jumaat, jadi kita tak boleh nak agak ataupun mengesyaki sesiapa.
"Saya sudah meniaga di sini sejak tahun 2020 sampai sekarang, dan setakat ini, ia merupakan kes pertama terjadi di kampung ini,” ujar Nurul Ain Sakinah.
Kronologi kehilangan Bella
* 16 Disember 2023 - Laporan polis pertama berhubung kehilangan Bella dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat oleh keluarga Bella.
* 18 Disember 2023 - Laporan polis kedua mengenai kehilangan Bella dibuat oleh ahli keluarganya di IPD Batu Pahat.
* 23 Disember 2023 - Polis memanggil lima individu termasuk teman lelaki Bella untuk membantu siasatan dengan kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. Polis juga merekodkan keterangan daripada teman lelaki Bella sebanyak dua kali.
* 10 Januari 2024 - Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan dua lagi individu ditahan bagi membantu kes kehilangan Bella. - Awani