Penyasaran semula subsidi diiringi penambahbaikan bantuan sosial

Iklan
Armizan ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah di sini pada Sabtu. Foto Unit Komunikasi Korporat KPDN

PADANG BESAR- Kerajaan memberi komitmen penyasaran semula subsidi yang akan dilaksanakan secara berfasa pada tahun ini, akan disertai dengan penambahbaikan pemberian bantuan sosial kepada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementeriannya bersama Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi sedang berbincang untuk menambah baik dan memperkemas bantuan sosial kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Iklan
Iklan

"Untuk jangka panjang, KPDN, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperkemaskan STR, pindahan tunai untuk rakyat kita dengan mengambil kira perancangan untuk kita melaksanakan penyasaran semula subsidi.

"Jadi kita sedang mengadakan perbincangan, kerjasama rapat tiga kementerian yang terlibat ini kerana komitmen kerajaan tahun ini kita akan melakukan penyasaran semula subsidi secara berperingkat yang akan melibatkan komponen diesel dan juga petrol RON95," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, antara penambahbaikan STR yang boleh dilaksanakan adalah meningkatkan jumlah bantuan itu serta menambah liputan pemberiannya kepada kumpulan sasar yang lebih ramai.

"Bukan hanya tertumpu pada apa yang disebut golongan miskin, miskin tegar atau B40 sahaja tetapi cakupan penerima sumbangan STR sebelum terlaksananya penyasaran subsidi itu akan melibatkan golongan sasar yang lebih luas," katanya.

Iklan

Justeru, beliau menyeru rakyat di seluruh negara untuk memperkemaskan butiran peribadi masing-masing melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sangat penting dalam membantu kerajaan menyalurkan bantuan sosial kepada golongan sasar selain mengelakkan mana-mana individu tercicir daripada menerima manfaat.

Sementara itu, Armizan berkata, komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat turut dizahirkan melalui penambahbaikan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan semalam dengan jumlah bantuan itu dinaikkan kepada RM1,200 tahun ini berbanding RM600 pada 2023, manakala kadar untuk golongan bujang kekal RM600.

"Ia melibatkan peruntukkan yang cukup besar, tahun lepas peruntukkannya RM130 juta, kini tahun 2024 telah ditingkatkan kepada RM700 juta...dari segi golongan sasar yang menerima kalau dulu hanya melibatkan miskin tegar, namun pada tahun ini kerajaan telah meningkatkan jumlah golongan sasar yang lebih luas.

"Selain golongan miskin tegar, ia turut memberi manfaat kepada golongan miskin yang melibatkan pertambahan golongan sasar daripada 210,000 orang kepada 700,000 orang.

"Selain itu penambahbaikan SARA kali ini ialah perluasan skopnya, kalau dulu hanya boleh untuk pembelian barangan asas, tetapi kini diperluaskan untuk pembelian lain seperti barang kebersihan diri, ubat-ubatan dan juga barangan persekolahan," katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN akan memperluaskan lagi program Jualan Rahmah pada tahun ini bagi memastikan rakyat terus menerima manfaatnya selaras dengan peningkatan peruntukan bagi program itu iaitu kepada RM200 juta tahun ini berbanding RM100 juta tahun lalu. - Bernama