Penguat kuasa KPDN ditempatkan di 7 pintu masuk sempadan

Iklan
KPDN akan menempatkan pegawai penguat kuasa di tujuh pintu masuk sempadan negara di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi. (Gambar kecil: Armizan) Foto Bernama

PADANG BESAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menempatkan pegawai penguat kuasa di tujuh pintu masuk sempadan negara di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penempatan pegawai penguat kuasa KPDN itu adalah sehingga penubuhan agensi tunggal sempadan negara (SBA) dan juga selaras dengan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi pada tahun ini.

Iklan
Iklan

"Pegawai-pegawai kita ini dalam tempoh itu akan membuat pemantauan berkala tentang operasi penguatkuasaan di bawah tiga akta di bawah kawal selia KPDN iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) dan Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

"Dengan adanya penempatan pegawai kita dengan serta-merta di tujuh pintu masuk ini, mereka akan dapat melihat sendiri dan seterusnya dapat memberikan respons kepada bahagian penguat kuasa di peringkat kementerian, bagaimana kita dapat menambah baik operasi penguatkuasaan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk membolehkan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di pintu masuk negara seperti mana Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Armizan berkata, penempatan pegawai penguat kuasa KPDN itu juga bukan bermaksud ada tambahan peringkat pemeriksaan keselamatan baharu di pintu-pintu masuk negara, sebaliknya diintegrasikan dalam proses pemeriksaan sedia ada.

Iklan

Selain itu, beliau berkata, KPDN juga akan meneruskan pelaksanaan Ops Tiris dengan skop pelaksanaan operasi pada tahun ini akan diperluas kepada barangan kawalan lain seperti gula, minyak masak tepung gandum, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

"Bagi tujuan ini, penguatkuasaan ke atas Peraturan-peraturan kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 yang melarang mana-mana orang untuk mengeksport apa-apa barang kawalan akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua pintu masuk sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara bagi meningkatkan kawalan sempadan negara serta akan menambah baik prosedur operasi standard bagi Kes Penyerahan Agensi daripada agensi penguatkuasaan yang lain.

"KPDN juga akan melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di premis-premis perniagaan melibatkan pemborong dan peruncit di kawasan sempadan dan melaksanakan pengauditan terhadap pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bukering dan syarikat pengeksport bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran dan penjualan,” katanya. - Bernama