KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Berselindung di sebalik perniagaan aksesori kenderaan antara taktik sindiket pelaburan bitcoin yang dibongkar menerusi serbuan di sebuah premis dekat sini pada Jumaat.
Sindiket dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu serta didalangi dua lelaki warga China ini turut dipercayai menjana pendapatan sekitar RM100,000 sebulan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 10 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
"Serbuan dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan pihaknya sebulan berkaitan kegiatan terbabit.
"Maklumat yang diperoleh kemudian membawa kepada serbuan di premis berkenaan dan menahan dua lelaki warga China berumur 28 dan 33 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis dan juruteknik membaik pulih mesin bitcoin," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, dua suspek terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
"Siasatan dijalankan mendapati dokumen perjalanan asal dipercayai disimpan oleh pihak ejen.
"Serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM12,600, 30 unit mesin bitcoin, dua unit mesin penyejuk bitcoin, dua komputer, satu komputer riba dan dua set peralatan ujian," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram di premis ini.
"Sindiket dikesan berselindung di sebalik penggunaan papan tanda perniagaan tinted kenderaan bagi mengelakkan aktiviti tersebut dikesan pihak berkuasa.
"Sasaran bagi pelaburan bitcoin ini adalah warga China dan penduduk tempatan selain sindiket turut menyediakan perkhidmatan membaiki dan servis mesin bitcoin dengan harga bayaran antara RM100 hingga RM200," katanya.
Ruslin berkata, siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sejak enam bulan lalu dan mampu menjana pendapatan sekitar RM100,000 sebulan.
"Kedua-dua suspek ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.