KLANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bukan mudah untuk menyiasat kes-kes melibatkan pemimpin berprofil tinggi.
Ujar beliau, usaha itu bagaimanapun tetap perlu diteruskan bagi menjaga kepentingan negeri dan harta rakyat.
"Bukan senang mahu siasat itu Tun, Tun. Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah Tamil lagi senang tetapi mahu siasat orang kaya besar-besar yang curi duit, ingat senang ke?
"Tidak senang, tetapi oleh kerana kita mahu jaga ini negara, jangan bagi diorang curi harta rakyat dan tolong rakyat.
"Kita akan siasat penjahat itu, saya tidak peduli," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2024 di Dataran Majlis Perbandaran Klang pada Sabtu.
Menurut Anwar, tindakan beberapa individu yang mempertikaikan usaha beliau dalam menangani masalah penyelewengan dan rasuah di negara ini disifatkan sebagai aneh.
"Ini bagi saya aneh, sepatutnya mereka sokong," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemimpin masyarakat India dinasihatkan supaya tidak terlalu terbawa-bawa dengan sentimen yang melampau kerana tindakan itu tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Jelasnya, ia berikutan pemerintahan pada hari ini bukan kerajaan yang sekadar menyuarakan hasrat tetapi tidak melaksanakannya.
"Kita menghadapi tuntutan yang kuat daripada masyarakat Melayu, Cina, India, Sarawak dan Sabah.
"Kita mesti ambil langkah kekalkan semangat Madani, adil bagi semua. Bila saya sebut begini, ia bukan mudah kerana ada di kalangan kaum saya menyerang India dan tidak adil bagi mereka kerana kita ini katanya hanya tunduk kepada kaum-kaum lain," menurutnya.