Lebih 2,000 penyokong saksi aksi Harimau Malaya di Stadium Nasional

Iklan
Peminat bola sepak tanah air sudah mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan aksi kedua Kumpulan E Piala Asia 2023, Malaysia bertemu Bahrain pada jam 10.30 malam ini menerusi tiga skrin besar yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Foto Bernama

SERAMAI lebih 2,000 penyokong bola sepak tempatan hadir menyaksikan aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Bahrain yang disiarkan secara langsung menerusi skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Menerusi tinjauan Bernama, orang ramai sudah mula hadir seawal jam 8 malam dengan masing-masing mengenakan baju berwarna kuning yang merupakan identiti skuad Harimau Malaya.

Iklan
Iklan

Suasana gamat turut didengar menggegar gelanggang keramat itu sejurus perlawanan bermula pada jam 10.30 malam ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan barisan kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Iklan

Ibu bapa juga dilihat tidak melepaskan peluang membawa anak-anak mereka untuk bersama-sama merasai kehangatan menonton aksi bersejarah ini.

Anuar Mohd Nor, 58, berkata, beliau membawa isteri dan empat orang anaknya ke stadium untuk merasai kehangatan selain memberi sokongan padu kepada skuad kendalian jurulatih Kim Pan Gon yang berjuang untuk negara di Qatar.

Iklan
Foto Bernama

"Kami harap Malaysia menang malam ini, saya datang dengan anak dan isteri supaya rasa lebih keseronokan, kelainan dan juga semangat yang lebih walaupun tidak dapat bersama Harimau Malaya di Qatar sana," katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac berkata, penyokong negara seharusnya tidak melepaskan peluang menyaksikan tayangan skrin ini bagi menyampaikan suara sokongan kepada Harimau Malaya dari Kuala Lumpur ke Qatar.

"Saya rasa malam ini lebih 2,000 penonton hadir di sini, malam ini perlawanan penting jadi Harimau Malaya memang perlukan sokongan untuk misi wajib menang," katanya.

KBS menganjurkan tayangan skrin besar secara langsung di 16 lokasi di seluruh negara termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas aksi menentang Bahrain, Harimau Malaya dijdual bertemu juara dua kali Korea Selatan bagi perlawanan akhir peringkat kumpulan E pada 25 Jan ini.

Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com. - Bernama