Senam berlebihan, kesannya pada aritmia dan SCA - Pakar

Iklan
Gambar hiasan 123RF.

SHAH ALAM - Senaman berlebihan atau terlampau ekstrem bagi mereka yang tidak biasa bersenam atau menghidap penyakit jantung akan meningkatkan risiko degupan jantung tidak sekata (aritmia) dan serangan jantung terhenti mengejut (SCA).

Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Tee Chee Hian berkata, amat penting untuk mengetahui keupayaan seseorang untuk bersenam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, individu yang menghadapi masalah berat badan dinasihatkan untuk memulakan rancangan kecergasan mereka secara tidak mendadak.

"Bukan itu sahaja, mereka disaran memilih aktiviti berimpak rendah dan sentiasa berwaspada terhadap simptom aritmia seperti sakit dada, sesak nafas atau perasaan berdebar-debar.

Iklan

"Pendekatan berjaga-jaga ini dapat membantu untuk memastikan seseorang itu tidak terlalu memaksa diri mereka tanpa disedari,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Jelas beliau, aritmia boleh mengganggu koordinasi pengecutan dan kelonggaran yang diselaraskan jantung dan berupaya membawa kepada komplikasi serius, termasuk kematian jantung mengejut (SCD).

Iklan

Katanya, degupan jantung tidak sekata boleh mencetuskan SCD dengan menjejaskan fungsi pengepaman jantung.

"Keadaan itu membawa kepada pengurangan aliran darah, menyebabkan ketidakstabilan hemodinamik, mengurangkan bekalan oksigen ke organ dan dalam kes yang teruk, mendorong kepada fibrilasi ventrikel.

"Ia boleh mengakibatkan seseorang itu pengsan dan jika tidak dirawat, menyebabkan SCD berlaku,” ujarnya.

Justeru, Chee Hian berkongsi beberapa tanda amaran yang menunjukkan seseorang itu melakukan senaman secara berlebihan termasuk gejala fizikal dan berkaitan prestasi seperti keletihan berterusan, kerap sakit, perubahan pada pola tidur serta penurunan prestasi.

"Selain itu, ia juga mengganggu gejala psikologi dan fisiologi seperti gangguan emosi, haid tidak teratur dan perubahan kadar denyutan jantung,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan rutin senaman lengkap, rehat yang mencukupi, pemakanan sihat dan pemulihan untuk memupuk pendekatan lebih sihat untuk sebarang aktiviti fizikal.