SAYA telah menyatakan beberapa orang sasterawan tanah air, sudah boleh diangkat untuk menduduki kerusi Hadiah Nobel Kesusasteraan.
Antaranya ialah Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said dan Anwar Ridhwan. Ketiga-tiganya memiliki karya yang istimewa yang paralel dengan tuntutan Hadiah Nobel Kesusasteraan itu.
Berdepan dengan usaha ini ada beberapa perjalanan yang perlu dilalui. Juga perlu berhadapan dengan kerumitan dan kesulitan, tetapi tidak mustahil dapat diselesaikan.
Karya pengarang kita itu harus berdepan dengan khalayak di dunia antarabangsa terlebih dahulu. Terjemahan akan menerbangkan karya itu ke seluruh dunia. Pilihannya ialah dengan bahasa Inggeris, satu-satunya bahasa global.
Terjemahan yang baik, hasilnya segar sepanjang zaman dan akan dihargai untuk selama-lamanya.
Dan pengarangnya pun merasa terhutang budi kepada penterjemahnya, yang telah memanjangkan hayat teksnya ke persada dunia, serta merasa terhormat dan mendapat penghargaan di luar lingkungan budayanya.
Begitulah yang terjadi kepada pengarang-pengarang seperti Shakespeare, Goethe, Cooper, Beckett, O’Neill, Cellini, Joyce dan ramai lagi menjadi harum ke seluruh dunia, hasil daripada penterjemahan karya-karya mereka.
Daripada situlah lahirnya cadangan bahawa seseorang pengarang itu, layak dinobatkan menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.
Kebiasaannya juga pengarang yang dicadangkan itu, sudah mempunyai nama istimewa di dalam negara, dan telah melakukan sesuatu yang bermakna dan signifikan terhadap kesusasterannya.
Kedudukannya juga diperkuat dengan mendapat kritikan dan kajian-kajian akademik.
Gagasan kesusasteraan pengarang itu dibincang dengan kritis oleh pengkritik dan pemikir sastera, yang menemui bahawa karya dan kepengarangannya mencapai sifat kanon dan unggul.
Sementara khalayak umumnya menerima teks-teks tersebut sebagai karya yang baik. Resepsinya memberikan impak dan pragmatik yang tinggi, sebagai teks yang hidup di uji zaman.
PENYAIR TERKENAL
Kita memilih Muhammad Haji Salleh sebagai calon pertama ke arah Hadiah Nobel Kesusasteraan itu.
Sebagai penyair terkenal pelanggar puisi Melayu, daripada rendaman perasaan dan terlazim dengan sifat puitik romantik, kepada teks yang menganut faham intelektualisme.
Memingirkan unsur sedih, pilu dan terkurung dalam penjara kepiluan kepada karya yang mementingkan pemikiran dan mesej. Sajak-Sajak Pendatang (1973), Buku Perjalanan Si Tenggang 11 (1976) dan Watak Tenggara (1993) adalah contoh teksnya yang penting di zaman kehadirannya.
Dan teks kanonnya bagi saya ialah Aksara Usia (1998). Beliau terkenal sebagai penyair yang terus menerus berkarya dan prolifik serta taat dengan fahaman pengkayaannya.
Meskipun puisi intelektual tidak muncul sebagai sebuah aliran, namun ia memberi kesan kepada beberapa penyajak seperti Rahman Shaari, T. Alias Taib dan Zahari Hasib pada suatu masa dahulu melakukan transformasi dan modifikasi dalam persajakan masing-masing.
Pada dasarnya puisi intelektual memberi pengaruh secara menyeluruh kepada penulis muda, tidak lagi tenggelam dalam puisi melodramatik, tetapi lebih mementingkan kepada isi yang faktual dan lebih realistik.
Datangnya daripada kekuatan kognitif dan minda rasionalistik.
Masyarakat sastera tanah air telah merasa eksistensinya sebagai penyair yang luar daripada kebiasaan.
Lebih daripada teks intelektual, Muhammad Haji Salleh bagaikan memimpin suatu gerakan"masuk ke bahasa Melayu”.
Stail bersahaja Muhammad Haji Salleh dan kemudiannya menyusup ke dalam tatanan kritikan sastera, bahawa puisi yang baik itu bukannya terletak pada adunan yang abstrak yang sukar difahami, tetapi pada keaslian dan kedalaman maknanya.
Stail puisi Muhammad Haji Salleh, seperti yang sering saya nyatakan sebagai asli, bersih dan jernih kemelayuannya.
Sasterawan Negara ini tidak gemar menggunakan diksi yang sukar dan ungkapan yang abstrak, seperti yang lazim digemari orang apabila berpuisi. Sekali baca akan terasa wangian maknanya, dan makna itu kukuh dan teguh.
Tidak sahaja kembali ke bahasa Melayu, Muhammad Haji Salleh juga menunjukkan kecintaannya yang mendalam terhadap sastera Melayu klasik, Sejarah Melayu dijadikannya hipogram untuk menulis puisinya.
Dan ada sederetan kajiannya terjadap teks tradisional itu, terutamanya pada pewacanaanya terhadap Hikayat Hang Tuah. Malah, teori sasteranya Puitika Sastera Melayu (2000) berunggulkan teks sastera klasik.
KAJIAN AKADEMIK
Seperti yang ditegaskan, kedudukan calon Hadiah Nobel Kesusasteraan juga diperkuat dengan mendapat kritikan dan kajian-kajian akademik.
Gagasan kesusasteraan pengarang itu dibincang dengan kritis oleh pengkritik dan pemikir sastera, yang menemui bahawa karya dan kepengarangannya mencapai sifat kanon dan unggul.
Kedudukannya sebagai penyair Malaysia terbaik sejak kehadirannya hingga kini terus dipertahankan. Lebih setengah abad Muhammad Haji Salleh menduduki kerusi yang sangat berharga dan bermartabat itu.
Sesungguhnya Muhammad Haji Salleh adalah"Raja Penyair Malaysia”.
Empat buah kumpulan puisi Muhammad Haji Salleh sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Usaha promosi sampai ke persada dunia harus dilakukan.
Sambil itu aktiviti penterjemahan harus dikerjakan secara konsisten terhadap karya-karyanya yang lain, terutamanya yang memperjelaskan subjektiviti dan individualisme kepengarangannya.
Dalam menjayakan projek Hadiah Nobel Kesusasteraan ini memerlukan penglibatan individual dan institusi.
Secara individual pengkritik puisi tanah air seperti Rahman Shaari, Mohamad Shahidan, Mohamad Mokhtar Hassan, Hashim Ismail, Norhayati Ab.Rahman, Arbak Othman dan lain-lainnya diperlukan dalam membuat kajian dan kritikan terhadap puisi calon.
Sebagai contoh, Rahman Shaari bertindak sebagai pengumpul kritikan dan kajian, kemudian menerbitkannya dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
Begitu juga ada badan institusi seperti Dewan Bahasa dan Puskata, universiti tempatan, Gapena dan Pena, mampu melaksanakan projek besar ini.
Rasanya boleh dicadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi pusat gerakannya. Sementelah, Dewan Bahasa dan Pustaka telah pun menjalankan aktiviti penterjemahan.
Tentu sahaja kerja utama yang perlu dilakukan sekarang ialah mencadangkan pencalonan Hadiah Nobel Kesusasteraan itu.
Muhammad Haji Salleh sudah sedia tersohor seluruh dunia sebagai penyair dan pengkaji sastera Melayu.
Di samping usaha penterjemahan, pembukuan kritikan dan kajian penulisan akademik diteruskan, usaha cadangan pencalonan itu berjalan.
Tidak syak lagi, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, universiti tempatan, Gapena dan Pena dipohon untuk bekerjasama dalam merealisasikan projek Hadiah Nobel Kesusasteraan ini.
Boleh sahaja dibentuk sebuah jawatan kuasa bertindak dan memulakan kerja yang mulia ini.
Cadangan pencalonan sebenarnya boleh merujuk kepada pihak penganjuran Hadiah Nobel Kesusasteraan.
Seandainya kita serius dan ikhlas, cita-cita mengangangkat ke Hadiah Nobel Kesusasteraan ini akan dapat diusahakan dengan sebaiknya, dan berjaya insya-ALLAH.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.