KOREA Selatan berjaya mengelakkan kejutan besar di Piala Asia ketika seri 2-2 menentang Jordan dalam aksi Kumpulan E pada Sabtu.
Sehari selepas Iraq menewaskan pasukan pilihan kejohanan Jepun, Korea memerlukan gol sendiri pasukan lawan pada masa kecederaan untuk mendapatkan satu mata.
"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar dan kami mendapat perlawanan yang sukar.
"Ini adalah perlawanan yang memberikan banyak pengajaran kepada kami," kata jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann.
Korea Selatan memerlukan keputusan seri dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka pada Khamis menentang Malaysia untuk menjamin tempat ke pusingan 16 terakhir.
Skuad Taegeuk Warriors itu dalam misi menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun dan Son meletakkan pasukan di depan melalui sepakan penalti pada minit kesembilan.
Tetapi, jaringan sendiri Park Yong-woo dan jaringan Yazan Al-Naimat meletakkan Jordan di hadapan pada separuh masa pertama.
Korea Selatan kelihatan seperti tidak berpeluang menjaringkan gol pada separuh masa kedua tetapi memperoleh gol penyamaan apabila Yazan Al-Arab tertampan rembatan Hwang In-beom ke gawangnya sendiri pada minit pertama masa kecederaan.
"Adalah penting untuk melihat bagaimana reaksi pemain apabila perkara tidak seperti yang diharapkan. Itulah yang saya ingin tahu," katanya.