SHAH ALAM - Memulakan ciapan pertama dalam jawi bagi memartabatkan seni tulisan itu minggu lalu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi baginda juga sebenarnya masih dalam proses belajar.
Menurut Tunku Azizah, minat yang mendalam dalam tulisan jawi menyebabkan baginda mengambil inisiatif mempelajarinya sendiri dengan membaca surat khabar Utusan Melayu meskipun tidak pernah bersekolah di sekolah agama.
"Saya tidak pergi sekolah agama di Johor tetapi kerana minat kepada jawi saya belajar sendiri dengan membaca surat khabar Utusan Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tulisan Jawi: Tunku Azizah mulakan di Twitter
Status baginda mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memberitahu mereka juga kurang mahir dalam tulisan jawi.
@natazshaaaa turut berkongsi kisahnya sendiri dan berkata, tiada salahnya untuk terus belajar menulis jawi.
"Saya pun macam tu dulu tuanku. Saya boleh baca jawi dengan lancar bila menulis lemah sangat. Sampai kena masuk kelas pemulihan tapi setiap exam A alhamdulilah. Saya usaha buat latihan menulis hari-hari," katanya.
@PakcikRibut pula memberitahu, dia masih berusaha untuk mempelajari tulisan jawi kerana mahu memperkasakan tulisan tersebut yang dilihat semakin mendapat perhatian ramai.
"Ya kak saya pun masih belajar dan mencuba untuk faham dengan lancar, tak rugi kalau yang lain belajar sebab tiada jalan pintas untuk pandai. Sama-sama kita belajar," ujarnya.
Tambah @muhaiminzamr pula,"Walaupun Tuanku Permaisuri Agong sudah berada di atas tapi tuanku tetap belajar dengan semua bidang termasuk tulisan jawi. Alangkah indahnya hidup ini penuh toleransi sesama kaum," ujarnya menyokong kata-kata Permaisuri Agong.
Sehingga kini posting Permaisuri Agong dihujani maklum balas dari netizen yang berharap tulisan jawi dipelajari oleh semua bangsa kerana ia melambangkan keharmonian dan seni tersebut wajar untuk diambil peduli.
Semalam, Tunku Azizah menerusi ciapan di @cheminahsayang mempersoalkan berkaitan halatuju tulisan jawi di sekolah vernakular.
Tulisan jawi: Siapa lebih berkuasa, kementerian atau PIBG?
"Siapa lebih berkuasa? Kementerian pelajaran atau PIBG?" soal Tunku Azizah dipercayai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang sebelum itu dipetik sebagai berkata, pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan dengan majoriti mudah 51 peratus ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju.
Jelasnya, pengajaran tulisan jawi di satu-satu sekolah akan dijalankan jika 51 peratus atau lebih borang yang diterima daripada ibu bapa menyatakan persetujuan.