GEORGE TOWN - Rasa tenang, gembira dan lapang seperti semua permasalahan selesai.
Perasaan itu dikongsikan dua orang mualaf sebaik sahaja mereka melafazkan dua kalimah syahadah.
Khoo Chin Wah, 50, dan Ong Boon Eng, 40, melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md Lazim di sebuah restoran di Komtar baru-baru ini.
Chin Wah berkata, sebelum ini dia berasakan pelbagai masalah datang bertali arus menimpanya hinggakan dia tercari-cari jawapan dalam kehidupan terutama apabila terpaksa bertukar dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain.
Menurutnya, dia pernah bekerja di kebun durian di Sungai Ara dan Batu Gantung beberapa tahun lalu dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
"Namun, pekerjaan itu tidak bertahan lama kerana pendapatan diperoleh bergantung pada musim buah.
"Setelah sekian lama hilang pendapatan, kini saya bekerja di sebuah restoran sebagai pelayan dengan pendapatan yang sedikit.
Chin Wah mengakui perasaan untuk memeluk agama Islam mula dirasai sejak tiga tahun lalu apabila dia melihat kehidupan seorang bapa saudaranya begitu tenang setelah sekian lama melafazkan syahadah.
"Saya tercari pihak yang dapat membimbing saya memeluk Islam. Hari ini saya telah berjumpa dengan IKUT dan mengikuti kursus berkaitan agama Islam.
"Saya diajar agar terus menjaga ibu walaupun saya sudah lama tidak tinggal dengan ibu. Islam mengajar saya untuk terus berhubung dan menjenguk ibu walaupun ibu berlainan agama,” katanya yang tinggal di sebuah bilik di tempat kerjanya.
Bagi Boon Eng pula, perasaan tenang juga dapat dirasakan setelah melafazkan syahadah.
Menurutnya, sejak lebih dua tahun lalu perasaannya begitu tertekan setelah kematian suaminya dipercayai akibat Covid-19.
Sejak itu, kata Boon Eng, dia cepat marah dan menyalahkan sesiapa sahaja hinggakan dia berasakan kehidupannya sudah berakhir.
"Saya seolah-olah tidak mahu jumpa orang. Kalau bekerja cuci pinggan pun saya akan berada di belakang kedai dan tidak mahu jumpa orang.
"Disebabkan itu, saya terpaksa meletakkan anak lelaki saya berusia 12 tahun di pusat jagaan anak-anak yatim.
"Saya rasakan jika anak ada bersama, saya tidak dapat menjaga dan menyekolahkannya. Tambahan pula saya tiada pendapatan tetap,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Boon Eng berkata, masalahnya kian parah apabila tidak mempunyai rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah kawannya.
Bagaimanapun katanya, kini dia rasa lebih tenang selepas melafazkan syahadah dan yakin Islam akan menjaga orang-orang sepertinya.
Sementara itu, Zolkifly berkata, setiap saudara baharu itu akan menjalani kursus berkaitan agama Islam selama tiga hari di Permatang Tok Gelam yang dianjurkan Jabatan Agama Islam negeri sebelum urusan pendaftaran mereka dilakukan.
"IKUT juga akan memberi mereka kursus di bawah program ‘Dakwah Jalanan’ berkaitan agama Islam setiap minggu yang dipimpin oleh mualaf lain.
"Konsep Dakwah Jalanan ini berlainan sedikit kerana ia dianjurkan dalam bahasa Hokkien dan di premis-premis seperti restoran atau kafe milik pengusaha mualaf yang secara sukarela menawarkannya.
"Dakwah Jalanan ini diadakan secara berterusan melibatkan fardu kifayah dan ain termasuk berkaitan solat, puasa, pemakaian tudung dan sebagainya,” katanya.