Iran kritik mekanisme veto 'tidak adil' di UNSC

Iklan
Iran mengkritik kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyifatkan ia sebagai mekanisme tidak adil. Foto fail Bernama

TEHRAN - Naib Presiden pertama Iran, Mohammad Mokhber mengkritik kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan menyifatkannya sebagai mekanisme tidak adil yang melemahkan kedudukan PBB.

Naib Presiden membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di Kampala, ibu negara Uganda, di luar Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-19 pada Sabtu, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

Iklan
Iklan

Mokhber dan Guterres membincangkan isu-isu serantau utama termasuk konflik Gaza dengan kedua-duanya menyatakan kesedihan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di wilayah yang terkepung itu.

Guterres berkata, Iran harus bertindak sebagai satu daripada tonggak utama dalam apa yang disebutnya sebagai Asia Barat baharu dengan Tehran harus memainkan peranan aktif dalam mempromosikan keamanan.

Iklan

Menurut IRNA, Mokhber juga bertemu dengan Menteri Luar Afrika Selatan, Naledi Pandor di luar Sidang Kemuncak NAM.

Beliau memuji Afrika Selatan kerana menyokong rakyat Gaza serta langkahnya untuk merujuk kes genosid Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Iklan

Naib Presiden Iran juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar di Kampala dengan Chabahar, pelabuhan penting di tenggara Iran menjadi antara topik yang dibincangkan.

Kedua-dua pegawai turut berbincang menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala dan menekankan kepentingan mengadakan pelan strategik jangka panjang untuk kerjasama bersama. - Bernama-IRNA