BACHOK - Sejumlah 4,000 peserta disasarkan menyertai program memahami al-Quran, Tadabbur Tour yang akan berlangsung di lima lokasi di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Pengerusi Tadabbur Tour Zon Timur, Dr Ahmad Mahyudin Mohamed berkata, program di bawah anjuran Yayasan Ummi Malaysia (YUM) dan Akademi Senergi Ikhlas itu bermula dengan zon timur di Kelantan dengan kerjasama daripada Universiti Malaysia Kelantan pada 20 serta 21 Januari 2024.
Menurutnya, program seterusnya akan melibatkan penganjuran di zon utara, tengah, selatan dan Borneo dengan pilihan negeri akan ditetapkan kemudian.
"Sasaran awal hanya 200 penyertaan sehari namun di UMK, kami menerima 400 peserta sehari dan dijangkakan akan ada 4,000 peserta mengambil bahagian dalam Tadabbur Tour di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di UMK pada Sabtu.
Turut diadakan perasmian penubuhan Sahabat al-Quran oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohammad Ismail.
Dr Ahmad berkata, pengurusan program Tadabbur Tour di lapangan dilakukan oleh 70 pelajar Training of Trainers Intensif al-Quran (TOTIQ) kumpulan ketiga di bawah YUM yang selesai menjalani program selama enam bulan sebelum ini.
Dalam pada itu, program Sahabat al-Quran dijangka bermula sebelum Ramadan bagi mengajak lebih ramai golongan muda menjadikan al-Quran sebagai pendamping mereka.
"Kami melihat berdasarkan penganjuran program-program al-Quran sebelum ini banyak melibatkan golongan lebih berusia.
"Jadi, Sahabat al-Quran ini akan memberi fokus kepada mereka yang terdiri daripada penuntut dan alumni institut pengajian tinggi (IPT) berusia kurang 40 tahun untuk menyertainya serta lebih mencintai al-Quran,” katanya.