PUTRAJAYA - Mahkamah Khas Kes Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Semenyih, Selangor dan Mahkamah Sesyen Langkawi, Kedah akan beroperasi esok.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman dalam satu kenyataannya berkata, penubuhan dua mahkamah tersebut bertujuan mempercepatkan pelupusan kes membabitkan tangkapan warga asing oleh pihak imigresen selaras dengan Akta Imigresen 1959.
"Mahkamah khas itu akan ditempatkan di depoh tahanan PATI di seluruh negara dengan infrastruktur bagi persidangan mahkamah khas ini disediakan Jabatan Imigresen.
"Bagi aspek pengoperasian pula, pegawai kehakiman dan kakitangan sokongan termasuk jurubahasa serta kerani kewangan merupakan kakitangan mahkamah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Mahkamah Sesyen Langkawi pula akan membicarakan kes sivil dan jenayah yang didaftar dan tertakluk kepada bidang kuasa tempatan daerah terbabit.
Katanya, penubuhannya adalah bertujuan untuk menjimatkan masa dan perbelanjaan pihak yang terbabit di mana saksi serta orang awam kini tidak perlu lagi berulang alik ke Mahkamah Sesyen Alor Setar.
"Badan Kehakiman sentiasa memberi penekanan terhadap akses kepada keadilan kerana ia adalah satu hak dan harapan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan di Malaysia,” katanya.
Kenyataan itu berkata, ia juga untuk mengiktiraf bahawa masyarakat luar bandar turut berhak untuk mendapat perkhidmatan keadilan yang cekap dan merangkumi semua golongan masyarakat.
"Justeru, Badan Kehakiman berharap agar penubuhan mahkamah baharu ini dapat dijadikan sebagai forum untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang menuntut keadilan sekaligus mendukung prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia,” katanya.