KUALA LUMPUR - Lebih 2,000 warga kota tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat anjuran Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak pada Ahad.
Dianjurkan di pekarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 13 tan barang basah dan kering dijual pada harga lebih murah berbanding di pasaran antaranya ayam, ikan, telur, beras dan minyak masak.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, jualan itu dapat membantu penduduk khususnya golongan miskin bandar mendapatkan bekalan segar pada harga berpatutan.
"Jualan ini ialah satu daripada usaha kita membantu meringankan kos sara hidup warga kota, kita akan cuba memperluas lagi jualan seperti ini supaya ramai dapat manfaat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Faizah Mohamad Yusop, 39, melahirkan rasa gembira kerana dapat membeli barangan keperluan dengan harga yang murah.
"Kalau lihat harga yang ditawarkan pada jualan ini memang murah, sebagai contoh harga ikan hanya RM10 sekilogram. Harap jualan macam ini dapat diadakan lebih kerap,” katanya.
Selain jualan barangan keperluan harian, program itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung. - Bernama