RAWANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menyiasat dakwaan terdapat 'games' (permainan) tertentu di dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam isu kawalan bekalan beras tempatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya enggan membuat sebarang tuduhan dan mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil siasatan dijalankan.
"Saya tidak mahu menuduh sesiapa tetapi kita memandang serius apa saja perkara (aduan) atau melihat keperluan struktur hal beras dan padi yang dibentuk pada tahun 2008 dikaji semula.
"Pihak kerajaan akan menilai semula dari sudut pengkajian semula struktur organisasi hal beras di Malaysia," katanya pada lawatan ke ARC Berkat Agrafood Sdn Bhd di Bestari Jaya di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung dakwaan oleh Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) terhadap Bernas berhubung kemungkinan isu kartel dalam agihan bekalan beras tempatan dalam negara.
Presidennya, Ismail Awang memberitahu, maklum balas ahli persatuan mendapati, stok beras putih tempatan terutama bekalan daripada Bernas memang tiada.
Pihaknya mempersoalkan sebahagian besar pasar raya dapat bekalan menjual beras putih tempatan, namun ahli Barim sukar mendapatkan bekalan tersebut.
Mohamad pada masa sama turut memaklumkan yang kementeriannya turut mengambil perhatian isu benih beras tidak berkualiti.
"Saya akui (isu) benih padi ini sentiasa dalam permasalahan. Jadi kita akan menangani masalah itu dengan cara terbaik," katanya.